Honda CB-F Concept 2020 - sebuah lagi motosikal retro moden dari Honda!

oleh Mohamad Hanif|
Ketika bandar-bandar dunia sudah mula melaksanakan perintah kawalan pergerakan akibat COVID-19, ia sedikit pun tidak menghalang Honda daripada memperkenalkan secara rasmi model konsep baharu menerusi acara dalam talian.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Honda CB-F 2020 merupakan sebuah model konsep retro naked, dan merupakan pendekatan terbaharu Honda dalam menggandingkan teknologi moden ke dalam rekaan retro.

Rekaan luaran CB-F Concept ini sememangnya mengingatkan kita terhadap model ikonik seperti CB750F di Jepun dan juga model CB900F yang muncul pada era awal 1980-an.

Ini diperlihatkan menerusi penampilan jalur biru yang menghiasi komponen tangki bahan api dan diteruskan ke bahagian sisi motosikal.

 


Honda CB-F didatangkan dengan nadi yang diperoleh dari Honda CB1000R, enjin bersesaran 998 cc yang mampu menjana 143 kuasa kuda @ 7,500 rpm dan daya kilas 104 Nm pada putaran enjin 8,250 rpm.

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi manual enam nisbah kelajuan.

Apa yang unik pada Honda CB-F Concept ini adalah penggunaan lengan ayun tunggal jenis Pro-Arm manakala sistem suspensi hadapan pula adalah daripada jenis inverted fork.

Penambahan terbaharu kepada keluarga CB Honda, walaupun ia sekadar dalam bentuk konsep, akan tetapi rupa parasnya sudah cukup mengembalikan nostalgia kenangan lama suatu ketika dahulu.