Honda Breeze 2023 - kembar CR-V di China, penggayaan yang lebih minimalis

oleh Mohamad Hanif|
Untuk pasaran China, Honda sebenarnya ada menawarkan unit CR-V dengan dua penampilan yang berbeza.

Versi CR-V standard ditawarkan dan dihasilkan oleh Dongfeng Honda, sementara versi yang kita lihat dalam artikel ini merupakan Honda Breeze yang diproduksikan oleh GAC Honda.

Imej yang muncul di laman web Kementerian Industri dan Teknologi China ini menampakkan rupa paras 'kembar' CR-V untuk pasaran tersebut.
 

breeze


Honda Breeze generasi baharu ini sememangnya berkongsi banyak benda dengan CR-V, namun dibezakan dengan beberapa elemen.

Seperti contoh, unit lampu depan yang lebih nipis, gril hadapan yang lebih kecil, rekaan bampar depan dan belakang yang lebih ringkas, cladding plastik mengikut warna badan serta unit cermin sisi dengan kelengkapan penderia ADAS terbina.

Sementara bahagian belakang pula tidak lagi menampilkan elemen rekaan Volvo, sebaliknya menampilkan rekaan lampu yang lebih ringkas, diikuti dengan rekaan bampar yang lebih bersih menempatkan tip ekzos krom berkembar.
 

breeze


Tiada sebarang imej ruang kabin diperlihatkan, namun besar kemungkinan Honda Breeze akan membawakan susun atur papan pemuka yang hampir sama dengan Honda CR-V generasi baharu, dengan membawakan elemen rekaan daripada Honda Civic.

Di China, Honda Breeze dikuasakan oleh nadi 1.5 liter turbo yang menghasilkan 190 hp, dengan padanan transmisi CVT serta pilihan pacuan roda depan atau semua roda.

Ia bakal dilancarkan di China dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Oleh sebab itu, kebanyakan syarikat utama menggunakan strategi dua buah model kereta dengan…