Honda BR-V 2022 rasmi dilancarkan - ciri Honda LaneWatch, Honda Sensing, harga dari RM76k di Indonesia

oleh Mohamad Hanif|
Generasi baharu Honda BR-V 2022 akhirnya secara rasmi diperlihatkan menerusi acara pelancaran dalam talian di saluran Youtube Hondaisme.

SUV tujuh tempat duduk itu didatangkan dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 121 PS dan 145 Nm, nadi yang sama dimuatkan pada sedan segmen B Honda City generasi baharu, serta digandingkan dengan transmisi CVT atau transmisi manual untuk dua varian terendah.

Dari segi penampilan, ia membawakan banyak persamaan dengan model konsep N7X, seperti contoh unit lampu serba baharu dengan lampu nyalaan siang LED, rekaan gril yang lebih besar, diikuti dengan rekaan lampu belakang seakan model City.
 

Honda


Ia juga turut menggandingkan elemen kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) di dalam satu pakej yang serba moden, seperti rel bumbung, jarak kelegaan tanah setinggi 220 mm, rim sebesar 17 inci serta pemasangan cladding plastik pada arka roda.

Tidak ketinggalan, ciri Honda SENSING yang didatangkan pada varian tertinggi yang merangkumi komponen seperti sistem brek mitigasi pelanggaran (CMBS), sistem bantuan pengekalan laluan (LKAS), notifikasi pergerakan kenderaan hadapan, mitigasi keluar jalan (RDM), kawalan jelajah adaptif (ACC), serta ciri suluhan tinggi (AHB) yang melengkapi ciri keselamatan lain seperti dua beg udara hadapan, beg udara sisi, ABS, EBD, VSA, HSA, serta Honda LaneWatch.
 

Honda


Jika sebelum ini ruang kabin BR-V agak kosong, generasi baharu BR-V 2022 kali ini tampil dengan rekaan yang jauh lebih moden, di mana sistem infotainmen bersaiz tujuh inci turut menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan juga Android Auto.

Terdapat juga skrin TFT bersaiz 4.2 inci yang mampu memaparkan informasi seperti penggunaan bahan api, jarak perjalanan, kapasiti tangki bahan api, serta ciri Honda SENSING.
 

Honda


Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah Remote Engine Start, Walk-away Auto Lock, konsol perehat tangan pada tempat duduk baris pertama dan kedua, slot pengecasan kuasa untuk ketiga-tiga baris tempat duduk, lapan tempat meletak botol air, serta tempat duduk baris ketiga yang boleh dilipat nisbah 50:50.

Harga jualan Honda BR-V dikatakan bermula dari Rp 260 juta (RM76,424), di mana perincian lanjut berkenaan harga setiap varian akan diumumkan kelak.

Honda BR-V 2022 akan mula diedar kepada para pelanggan menjelang bulan Januari 2022.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Model yang langsung tidak ditampal sebarang pelekat samaran itu menunjukkan persamaan rekaan yang…
Berita Global
Kini, generasi keempat Suzuki Swift 2024 sedia untuk menggalas tugas sebagai sebuah kereta kompak…
Berita Global
Ia dilihat sebagai satu alternatif sedan empat pintu kepada model sedan elektrik Porsche Taycan,…