Menurut laporan yang disiarkan oleh Reuters, pengeluar automotif kedua terbesar Jepun itu menjangkakan kerugian sehingga 570 bilion yen (RM 17.7 Billion)bagi tahun kewangan semasa yang berakhir pada Mac. Sebelum ini, Honda mencatat keuntungan tahunan sekitar 550 bilion yen (RM 17.05 Billion)
Situasi ini menandakan kali pertama Honda mencatat kerugian tahunan sejak syarikat itu disenaraikan di pasaran saham pada tahun 1957.
Kerugian besar akibat strategi EV
Honda memaklumkan kerugian tersebut berpunca daripada penstrukturan semula besar dalam perniagaan EV, termasuk keputusan untuk membatalkan tiga model EV yang sebelum ini dirancang untuk pengeluaran di Amerika Syarikat.
Jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung dianggarkan mencecah 2.5 trilion yen (AS$15.7 bilion). Langkah ini dibuat selepas permintaan terhadap EV didapati lebih lemah daripada jangkaan, sekali gus memberi tekanan besar kepada pengeluar automotif global.
Penganalisis automotif dari Pelham Smithers Associates, Julie Boote, berkata jumlah write-down yang diumumkan Honda itu agak mengejutkan.
Menurutnya, rancangan pengeluaran EV di Amerika Syarikat sebenarnya dibatalkan sepenuhnya, bukannya sekadar dikurangkan skala seperti yang dijangkakan sebelum ini.
Permintaan EV merosot
Ketua Pegawai Eksekutif Honda, Toshihiro Mibe berkata permintaan terhadap EV telah merosot dengan ketara, menjadikannya sangat sukar untuk mengekalkan keuntungan dalam perniagaan tersebut.

Selain itu, perubahan dasar di Amerika Syarikat juga memberi kesan kepada strategi EV syarikat. Pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan telah menamatkan beberapa bentuk sokongan kerajaan terhadap EV, memaksa pengeluar automotif menilai semula pelaburan mereka dalam teknologi tersebut.
Tekanan di pasaran China
Honda turut mengurangkan nilai operasi perniagaannya di China, di mana syarikat itu kini berdepan persaingan sengit daripada pengeluar EV tempatan seperti BYD yang semakin agresif dengan model berasaskan perisian dan teknologi terkini.
Tekanan daripada jenama China turut menyebabkan beberapa pengeluar automotif Jepun kehilangan bahagian pasaran di rantau Asia.
Gelombang write-down industri EV
Kerugian pelaburan besar Honda ini menjadikan jumlah write-down berkaitan EV dalam industri automotif global mencecah sekitar AS$67 bilion.
Antara pengeluar lain yang turut mencatat kerugian besar berkaitan pelaburan EV termasuk:
-
General Motors – sekitar AS$7.6 bilion
-
Stellantis – sekitar AS$25 bilion
-
Ford Motor Company – sekitar AS$19 bilion
Langkah pemulihan Honda
Bagi mengurangkan tekanan kewangan, Honda akan memperkukuhkan barisan modelnya serta meningkatkan daya saing kos di pasaran seperti India, yang kini dilihat sebagai peluang pertumbuhan baharu.
Dalam masa sama, beberapa eksekutif kanan Honda turut mengambil langkah pengurangan gaji secara sukarela. Mibe dan Naib Presiden Eksekutif Noriya Kaihara dilaporkan akan melepaskan sekitar 30 peratus gaji mereka selama tiga bulan, manakala eksekutif lain akan memotong kira-kira 20 peratus.
Honda dijangka mengumumkan pelan strategi perniagaan baharu bagi tempoh pertengahan hingga jangka panjang pada tahun kewangan akan datang.
Sumber: Reuters