Fokus utama? Elektrifikasi, keselamatan, dan paling penting, mengekalkan “Joy of Driving” atau keseronokan pemanduan dalam era baharu.
Dalam bahasa mudah, Honda tak mahu jadi jenama yang hanya mengejar sifar emisi, mereka mahu kekal sebagai jenama yang membuatkan anda tersenyum setiap kali memandu.
Platform Hibrid Generasi Baharu – Lebih Ringan, Lebih Teguh, Lebih Seronok
Honda memperkenalkan platform hibrid generasi baharu yang bukan sekadar naik taraf, tapi satu revolusi kejuruteraan.
Struktur badan direka semula sehingga 90 kilogram lebih ringan, dengan sistem modular baharu yang membolehkan lebih 60 peratus komponen dikongsi antara pelbagai model.
Yang menarik, Honda kini menggunakan pendekatan body rigidity management, di mana kekakuan casis dikawal secara dinamik untuk membantu kestabilan.
Secara asasnya, badan kereta itu direka agar “bernafas” atau fleksibel ketika mengambil selekoh, mengagihkan beban ke tayar dengan lebih efisien dan memberikan rasa pemanduan yang lebih stabil.
Teknologi Kawalan Dinamik – Bila Robotik Bertemu Jalan Raya
Inilah bahagian yang membuatkan jurutera Honda tersenyum – Motion Management System, teknologi itu diadaptasi daripada kajian robotik Honda, digabungkan dengan Pitch Control yang kini menjadi sebahagian sistem Agile Handling Assist.
Tujuannya mudah, membantu pemandu mengawal kereta seolah-olah ia satu sambungan dengan tubuh badan sendiri, seperti memandu kereta sport analog, tetapi dengan keupayaan elektronik yang memahami niat pemandu.
Dalam dunia di mana banyak kereta moden terasa seperti permainan video, sistem ini menjadikan setiap gerakan stereng terasa tulen dan bukan simulasi.
Hibrid Besar & EV Kecil – Dua Dunia, Satu Falsafah
Selain platform sederhana itu, Honda turut mendedahkan sistem hibrid bersaiz besar generasi baharu untuk model pasaran Amerika.
Dengan enjin V6 baharu, ia bukan sekadar efisien tetapi mampu menyaingi prestasi SUV petrol besar, lengkap dengan kemampuan menunda dan kadar kecekapan bahan api 30 peratus lebih baik.
Di hujung spektrum lain, projek Super-One Prototype pula membuktikan bahawa EV kecil pun boleh membawa “fun factor”.
Teknologi daripada model itulah yang akan menjadi asas kepada produksi K-Car elektrik pertama Honda di Jepun tahun depan.
Joy of Driving Dalam Dunia Elektrik
Honda masih berpegang pada konsep M/M – Man Maximum, Machine Minimum, Maksimumkan ruang untuk manusia, minimumkan kompleksiti mekanikal.
Tapi kali ini mereka pergi lebih jauh dengan menambah aspek “emotion” atau emosi ke dalam sistem elektrik.
Setiap inovasi itu bukan sekadar spesifikasi di atas kertas, ia merupakan percubaan Honda untuk mengekalkan rasa yang pernah menjadikan Civic Type R, S2000, dan Integra legenda dalam dunia pemanduan, tetapi dalam bentuk hibrid dan EV.
Elektrifikasi bukan pengakhiran kepada fun-to-drive, sekurang-kurangnya tidak untuk Honda, apa yang diperlihatkan di Technology Workshop 2025 bukan sekadar pameran teknologi, tetapi kenyataan bahawa Honda masih berjuang mempertahankan DNA asalnya.