Honda Accord Type-R Wagon - idea kereta pantas dan praktikal!

oleh Mohamad Hanif|
Industri automotif merangkumi taburan pelanggan yang cukup meluas dan pelbagai, ada yang meminati kereta kecil, ada yang minat kenderaan yang praktikal, dan segelintir jiwa kelajuan yang sukakan kereta pantas.

Ada juga yang mahu menggabungkan beberapa ciri penting untuk dimuatkan ke dalam satu produk yang versatil, seperti contoh SUV atau MPV.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Oleh sebab itu, wujudnya pelbagai jenis segmen kenderaan di atas muka bumi ini demi memenuhi keperluan, dan jika anda perasan semenjak kebelakangan ini timbul kembali trend wagon terutama di pasaran Eropah.

Jadi, mahukah anda sekiranya Honda menghasilkan sebuah Accord Type-R wagon?

 


Merujuk kepada laman web Carscoops, mereka menggambarkan sebuah jentera pantas dan masih lagi praktikal untuk digunakan sebagai kenderaan seharian.

Antara perubahan yang ketara adalah perubahan daripada bentuk sedan kepada penampilan wagon dengan garis bumbung serta badan yang lebih dinamik dan sporti.

Muka hadapan wagon Type-R ini membawakan penampilan yang agresif, dimulakan dengan gril, skup hud enjin, splitter hadapan dan logo H merah manakala di bahagian belakang, bentuk lampu C yang melintangi penuh bahagian itu dan diakhiri dengan diffuser yang agresif.

Jika benar cerita ini bakal menjadi kenyataan, ia bakal memeriahkan lagi segmen wagon pantas yang wujud di Eropah seperti Arteon Shooting Brake, Peugeot 508 Sport Engineered PHEV dan model yang bakal dilancarkan Subaru Levorg STI.

 


Jika anda masih ingat, idea Type-R berbentuk wagon ini bukanlah cerita baharu, memandangkan kira-kira enam tahun sebelum ini Honda pernah hadir dengan sebuah model yang serupa menggunakan asas daripada Honda Civic Tourer 2014.

Sebuah pasukan perlumbaan di UK, Syncho Motorsport telah menghasilkan sebuah model one-off Honda Civic Type-R wagon dengan kit badan lebar serta lengkap dengan komponen yang diperlukan oleh sebuah Type-R - kotak gear, roda, brek dan cladding plastik.

Sementara di bahagian belakang pula, disebabkan bentuk badan wagon, tiada spoiler agresif dipasang, sebaliknya mereka menggunakan spoiler biasa sahaja, namun dipadankan dengan diffuser belakang yang agresif.

Penggunaan Honda Civic Tourer ini turut digunakan oleh pasukan perlumbaan Honda Yuasa Racing pada tahun 2014 dengan liveri merah dan putih sebelum menukarkannya kepada sebuah Civic Type-R sebenar berkuasa 350 hp di dalam perlumbaan BTCC.