Honda Accord 2023, gayaan kemas, enjin 1.5L turbo dan 2.0L hibrid

oleh Muhammad Md Tajudin|
Honda Accord 2023 AS
Honda Accord 2023 AS
Selang tiga hari selepas memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Pilot di Amerika Syarikat (AS) pada 7 November, Honda kembali dengan mempersembahkan Accord 2023 yang juga generasi kesebelas.

Ada yang terasa Accord di pasaran sekarang masih baharu? Begitulah Honda yang konsisten memperkenalkan model gantian.

Untuk rekod, Accord generasi kesepuluh dikeluarkan sejak tahun 2017 lagi.

Accord, CR-V dan Civic adalah tiga model penting buat Honda dan dijual di merata tempat.
Honda Accord 2023 AS

 

Pengenalan Accord 2023 adalah simbol kepada gaya reka bentuk baharu Honda yang sebelum ini mengundang pelbagai perbincangan.

Apa pendapat anda tentang reka bentuk Accord 2023?

Pada penulis, Honda telah menemui apa yang dicari atau dirancang selepas memperkenalkan pelbagai model dari Jazz, HR-V, Civic dan sebagainya.

Reka bentuk yang dibawa kali ini nampak kemas dan tidak kaku atau secara keseluruhannya nampak elegan.

Tiada bukaan gril besar, garis badan agresif dan perkadaran (proportion) yang sukar difahami.

 

Honda Accord 2023 AS

 

Jika diletak bersebelahan dengan model-model lama Accord terutama sekali generasi keempat (CB7) boleh dilihat evolusi pada Accord 2023.

Gaya badan kekal dengan fastback seperti sebelumnya dan gaya begini turut digunakan pada Civic.

Dalam bahasa rasmi, Acccord meneruskan arah reka bentuk baharu Honda dengan garisan badan (beltline) rendah dengan bahagian depan yang panjang dan menonjol.

Berikut ialah dimensi Accord 2023:

  • Panjang - 4970.8 mm
  • Lebar - 1861.8 mm
  • Tinggi - 1450.3 mm
  • Jarak roda - 2829.5 mm

Kesemua ciri tersebut hampir menyamai Accord sebelum ini kecuali panjang yang berukuran 4,900 mm.

 

Honda Accord 2023 AS

 

Selain itu, trek roda belakang Accord 2023 0.4 inci lebih lebar untuk meningkatkan kestabilan. 

Untuk pulang ke kampung atau membawa beg golf, but mempunyai ruang seluas 472.8 liter.

Bagaimana pula dengan enjin? Sebagai sebuah model global, ciri tersebut boleh dilihat pada model utama lain atau secara tradisinya Honda CR-V.

Faktor skala ekonomi memainkan peranan dan berikut ialah pilihan enjin Accord 2023:

1.5 liter VTEC turbo

  • 1498cc
  • 192 hp @ 6,000 rpm
  • 260Nm @ 1,700 - 5,000 rpm
  • Transmisi CVT

2.0 liter dengan dua motor hibrid

  • 1993cc
  • 204 hp 
  • 335Nm @ 5,000 - 8,000 rpm

 

Honda Accord 2023 AS

 

Pada bahagian dalam, papan pemuka Accord mirip CR-V baharu namun tidak seratus peratus sama. 

Paling ketara ialah corak jeriji, pelaras slot penyaman udara, konsol gear dan panel pintu.

Selain itu, beberapa varian Accord seperti Sport, EX-L, Sport-L, Touring dipasangkan skrin paling besar di dalam model keluaran Honda.

Skrin dengan tombol suara fizikal berukuran 12.3 inci dan mempunyai fungsi sambungan tanpa wayar Apple CarPlay® and Android Auto™.

 

Honda Accord 2023 AS

 

Accord Touring dilengkapi sistem Google terbina dalam dengan fungsi Google Assistant dan Google Maps selain papar pandu (head-up) enam inci dan 12 pembesar suara Bose premium.

Accord LX dan EX dipasang skrin sentuh tujuh inci dengan tombol fizikal untuk suara dan penalaan dan sambungan Apple CarPlay® and Android Auto™.

Sesuai dengan perkembangan teknologi, kesemua varian Accord boleh menerima kemaskni perisian secara Over the Air (OTA) untuk hampir kesemua modul komputer kenderaan.

Satu lagi ciri menarik ialah kerusi depan Body Stabilizing Seats yang mampu mengurangkan keletihan semasa pemanduan jarak jauh.

 

Honda Accord 2023 AS

 

Dari segi keselamatan dan bantuan pemanduan, Accord dilengkapi sepuluh beg udara dan sistem Honda Sensing terbaru dengan ciri berikut:

  • Kamera dengan sudut pandang 90 darjah
  • Radar dengan sudut cerapan 120 darjah
  • Maklumat titi buta (BSI) dengan jarak radar 82 kaki
  • Bantuan Kesesakan Trafik (TJA)
  • Kawalan Jelajah Adaptif dengan Ikutan Kelajuan Perlahan
  • Bantuan Pengekalan Laluan (LKAS)
  • Pengecaman Isyarat Jalan Raya

Turut dilengkapi sebagai ciri standard ialah Peringatan Tali Pinggang Keledar Belakang dan Peringatan Kerusi belakang supaya pemandu memeriksa kanak-kanak atau objek di belakang.

 

Honda Accord 2023 AS

 

Honda belum memaklumkan bila Accord 2023 akan dipasarkan di AS dan seterusnya boleh dijadikan panduan untuk pasaran lain.

Ada lapan warna untuk Accord termasuk tiga pilihan baharu iaitu Meteorite Gray Metallic, Urban Gray Pearl dan Canyon River Blue Metallic.

Seperti biasa, Accord dipasang di Ohio dan sejak 1982 sudah lebih 12.5 juta unit Accord dikeluarkan di negeri dengan keluasan ke-34 terbesar di AS tersebut.

Penulis: Muhammad Md Tajudin