Honda Accord 2021 facelift - tiada lagi kotak gear manual tersedia

oleh Mohamad Hanif|
Generasi kesepuluh Honda Accord telah pun melata di atas jalan raya bumi semenjak tahun 2017, dan untuk model tahun 2021 Honda telah mendatangkan kemaskini facelift ringan bagi sedan segmen D itu.

Antara ciri yang dinaiktaraf adalah bersifat kosmetik seperti contoh lampu utama LED baharu untuk varian tertentu, kemasan pada posisi lampu kabus, rekaan rim aloi serba baharu, rekaan gril yang kini menampilkan integrasi unit radar Honda SENSING, serta penawaran warna baharu Sonic Gray Pearl.

 


Sementara ruang kabin Honda Accord pula didatangkan dengan ciri seperti amaran tempat duduk belakang, amaran tali pinggang keledar belakang, sistem infotainmen bersaiz 8 inci standard untuk semua varian, dan lengkap dengan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Hanya varian tertentu seperti EX-L dan Touring mendapat ciri sambungan Apple CarPlay dan Android Auto nirwayar, serta ciri keselamatan tambahan Kawalan Brek Kelajuan Rendah (Low Speed Braking Control).

 


Dari segi pemanduan, varian Honda Accord Hybrid 2021 kini dikatakan mendapat respons pendikit yang lebih pantas dan natural, terima kasih kepada talaan kepada sistem hibrid motor berkembar itu.

Untuk varian lain yang hadir dengan enjin 1.5 liter turbo (192 hp) dan 2.0 liter turbo (252 hp) pula mendapat talaan kepada perisian pengurusan enjin bagi menawarkan kawalan pendikit yang lebih responsif dan linear.

Sedikit perubahan kepada penawaran sistem transmisi, di mana Honda kini tidak lagi menawarkan kotak gear manual untuk Accord 1.5 liter turbo, hanya transmisi CVT sahaja yang ditawarkan manakala model 2.0 liter turbo pula mendapat transmisi eksklusif automatik 10 nisbah kelajuan.

 


Honda juga turut menambah baik prestasi sistem Idle Stop pada Accord 1.5 liter turbo di mana ia kini mampu menghidupkan kembali enjin dengan lebih cepat saat pemandu melepaskan pedal brek.

Dari segi penawaran varian pula, Honda telah menambah sebuah varian baharu Sport Special Edition yang menggantikan Accord EX 1.5T dengan ciri baharu seperti tempat duduk balutan kulit, tempat duduk hadapan dengan pemanas terbina, tempat duduk pemandu boleh laras 12 cara diikuti tempat duduk penumpang hadapan boleh laras empat cara, Smart Entry, dan bantuan menghidupkan enjin jarak jauh.

Selain daripada itu, kemasan di bahagian luar termasuklah spoiler trunk lid, rim unik 19 inci, lampu kabus LED, gril krom gelap dan kemasan krom pada ekzos.

 


Seperti yang disebutkan tadi, dua varian tertinggi Accord Touring dan Accord Hybrid Touring kini mendapat ciri brek baharu dikenali sebagai Kawalan Brek Kelajuan Rendah, sementara kelengkapan Honda SENSING pula menerima kemaskini pada ciri Kawalan Pemanduan Adaptif (ACC) dan Sistem Bantuan Pengekalan Laluan (LKAS).

Di Amerika Syarikat, harga jualan Accord 2021 bermula dari $24,770 (RM102,517) manakala Honda Accord Hybrid pula bermula dari $26,370 (RM109,139).

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Pengenalan Accord 2023 adalah simbol kepada gaya reka bentuk baharu Honda yang sebelum ini…
Berita Global
Sedan generasi kesebelas itu dikatakan bakal membawakan keseronokan kembali ke dalam segmen sedan…
Berita Domestik
  Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata ketika kejadian…