Holden Kingswood gaya Hamziezar - Punya 'bisa' tersendiri!

oleh Afandi Che Muhamad|
Memiliki sebuah kereta yang berusia lebih 47 tahun memang cukup menjadi kebanggaan pemiliknya.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Apatah lagi jika kereta tersebut dijaga rapi dan turut menjadi perhatian orang di sekeliling.

Tidak dinafikan menjaga kereta berusia sebegini agak sukar, tetapi jika berpaksikan minat pasti ia tidak menjadi satu halangan.

Itulah yang diakui pemilik Holden Kingswood buatan tahun 1971 milik Hamziezar Hamzah.

Walaupun baru memilikinya hampir dua tahun, bapa kepada dua orang cahaya mata itu menegaskan kereta tersebut menterjemah makna tersendiri buat dirinya.

Meminati model kereta klasik kategori American Muscle, Hamziezar memberitahu kereta tersebut dibeli daripada Allahyarham Datuk Samuri Juraimi pada tahun 2016 sebelum pengasas Sate Kajang Haji Samuri itu meninggal dunia akibat kanser hati tahap empat setahun kemudian (awal September tahun lalu).

“Saya tidak melakukan banyak pengubahsuaian untuk kereta ini.

"Apa yang dilakukan (modifikasi) hanya biasa-biasa saja bagi saya kerana ketika mula-mula membelinya dahulu, kereta ini sudah kelihatan cukup sempurna," ujar anak jati Selayang itu meneruskan bicara.

Menurut Hamziezar, dia mahu mengekalkan keaslian asal kereta tersebut cuma sedikit suntikan mekap gaya yang lebih segar dikenakan ke atas kereta buatan Australia berkenaan bagi menonjolkan aura vintaj dimiliki.

Seloroh lelaki seusia dengan kereta itu lagi, dia tidak menukar atau menambah komponen baru bagi ruangan dalaman kereta.

Hamziezar hanya bertindak membalut kusyen tempat duduk dan pelapik bumbung berwarna merah jambu. Nampak lebih feminin bukan?

Meninjau bahagian luaran pula, Hamziezar memilih untuk menggunakan rim bersaiz 14 inci sebelum dipadankan bersama tayar lebih lebar berjenama Muscle Car yang diimport dari China.

Untuk makluman, kesemua komponen lain ditempah menerusi e-bay dan ada antaranya diterbangkan terus ke Malaysia dari Indonesia dan Australia selain China.

Meski pun kelihatan serba ringkas, Hamziezar bijak menata rias 'aset' tersebut menerusi aplikasi dua tona cat baharu berwarna merah (Candy Red) dan putih (English White) ke seluruh badan kereta ini.

Ketika ditanya mengenai enjin dan sebarang komponen teknikal lain, Hamziezar mengaku turut 'mengusiknya'.

Biar pun berulang-kali penulis cuba memujuk Hamziezar supaya bercerita serba sedikit mengenai nadi enjin digunakan dan sebagainya, dia tetap berkeras enggan mendedahkan kepada umum.

Tidak mengapa, penulis menghormati keputusan Hamziezar. Oh ya, jangan tidak tahu. Konsep hiasan untuk Holden Kingswood ini 100 peratus datang daripada ilham dia sendiri. Kreatif, cukup kreatif.

Tutur Hamziezar, dia banyak melakukan kajian melalui internet dan juga saling bertukar-tukar pendapat dengan kawan-kawan yang berkongsi minat sama bagi mendapatkan konsep diingini.

Bukan mudah untuk mendapatkan sepenuhnya apa yang dia inginkan, Hamziezar banyak melakukan kerja-kerja pengubahsuaian tersebut secara sedikit demi sedikit.

Mengakui sudah berpuas hati dengan hasil yang dilakukan, Hamziezar sudah berhabis sebanyak RM40,000 bagi proses berkenaan.

Kini, Hamziezar kerap terlibat dengan pameran automotif di seluruh negara.

Jika tiada penganjuran pameran automotif, jentera tersebut akan digunakan sebagai pengangkutan utama untuk membawa seisi keluarga beriadah pada hujung minggu.

Harus diketahui, Hamziezar turut memiliki koleksi kereta dan motosikal antik lain yang jauh lebih lama daripada Holden Kingswood ini.

Kalau anda berminat untuk tahu kereta atau motosikal apa dimaksudkan penulis, jangan ketinggalan untuk mengikuti perkembangan selanjutnya dalam keluaran artikel akan datang.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihak polis menerima…
Berita Domestik
Polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipercayai digunakan oleh suspek ketika…
Berita Global
Namun syarikat Concorde (bukan kapal terbang ultrasonik) tampil dengan penyelesaian untuk masalah…