HMAV pertama Malaysia dapat nama baharu - Tarantula HMAV 4x4!

oleh Mohamad Hanif|
MILDEF International Technologies baru-baru ini memperkenalkan nama rasmi bagi kenderaan berperisai mobiliti tinggi 4x4 (HMAV) pertama buatan Malaysia, iaitu Tarantula HMAV 4x4.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Majlis tersebut disempurnakan oleh YB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob selaku Menteri Kanan Pertahanan Malaysia bertempat di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Ianya turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Sri Muez bin Abdul Aziz - Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi  bin Buang TUDM – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain – Panglima Tentera Darat, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany – Panglima Tentera Laut, Jeneral Tan Sri Ackbal bin Haji Abdul Samad TUDM – Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (B), Penasihat MILDEF International Technologies dan juga Datuk Sri Mohd Nizam Kasa, Ketua Pegawai Eksekutif MILDEF International Technologies – iaitu syarikat yang bertanggungjawab mereka dan membina kereta berperisai tersebut. Majlis tersebut juga menyaksikan pelancaran logo rasmi kenderaan berperisai tersebut.

 


Sebelum ini, media utama telah melaporkan HMAV pertama Malaysia telah pun selesai melalui pelbagai ujian penilaian selama sembilan hari seperti ketahanan di lebuh raya, penggunaan minyak, ujian muatan, kecekapan penggunaan takal, pemasangan dan pembukaan, ujian mendaki serta cerun, penggunaan brek termasuklah ujian fording yang merangkumi jarak sejauh 700 km atas jalan raya dan 300 km laluan off-road.

Ujian yang dilaksanakan itu mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh Tentera Darat Malaysia.

Berikut merupakan fakta ringkas berkenaan Tarantula HMAV 4x4 ini:

1. Nama diinspirasikan daripada kumpulan labah-labah bertaring yang besar dan berbulu dalam keluarga Theraphosidae. Di Asia, ia dikenali dengan nama 'earth tiger' dan spesies Malaysian Earthtiger Tarantula adalah unik dan hanya ditemui di Semenanjung Malaysia.

2. Tarantula HMAV 4x4 mampu capai kelajuan di lebuh raya, 110 km/j.

3. HMAV pertama buatan Malaysia ini dibangunkan atas platform modular, di mana ia boleh dilengkapi dengan spesifikasi asas, sehinggalah kepada yang paling canggih bagi memenuhi piawaian spesifikasi mana-mana negara yang memerlukannya.

4. Tarantula HMAV 4x4 direka untuk memuatkan sistem persenjataan moden, serta sistem Stesen Senjata Kawalan Jauh (RCWS) untuk membolehkannya menembah 360 darjah semasa bertempur.

 


5. Sistem perlindungan perisai mematuhi piawaian bertaraf antarabangsa, iaitu Stanag 4569 Level 2B untuk perlindungan bawahan serta Stanag 4569 Level 2 untuk perlindungan perisai badan bagi melindungi kru di dalam.

6. HMAV 4x4 ini dikuasakan oleh enjin Caterpillar dengan nisbah kuasa dan berat 24 hp/tan.

7. Tarantula HMAV 4x4 menggunakan sistem suspensi bebas dengan spring gegelung yang bukan sahaja melancarkan mobiliti, malah menawarkan keselesaan tersendiri.

8. Terdapat ciri Sistem Inflasi Tayar Berpusat (CTIS) yang boleh diakses daripada panel papan pemuka yang membolehkan pengisian tekanan angin ke dalam tayar, atau mengeluarkan tekanan yang berlebihan.

9. Pintu belakang Tarantula HMAV 4x4 dilengkapi sistem hidraulik yang menjadikannya sesuai untuk digunakan dalam misi ketenteraan atau mana-mana misi pengaman PBB.

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan, satu kolaborasi antara Mildef dan syarikat tempatan di Timor Leste, Golden Dragon…
Berita Domestik
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Mildef, Datuk Sri Mohd Nizam bin Kasa (gambar di bawah), ujian-…
Berita Domestik
Menurut Datuk Sri Mohd Nizam Kasa, Ketua Pegawai Eksekutif Mildef,syarikat beliau turut menerima…