HiPhi X tampil dengan konsep pintu unik. Falcon Door Tesla Model X? Apa tu?

oleh Mohamad Hanif|
Kehadiran ciri bukaan pintu jenis gull-wing (falcon-wing) bukanlah satu ciri baharu yang ada pada sesebuah kenderaan, bermula dari pengenalan menerusi model Mercedes-Benz 300SL tahun 1952.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ciri ini apabila digunakan pada kereta sports seperti 300SL, DMC DeLorean, serta Autozam AZ-1 (sekadar menyebut beberapa nama) tidaklah begitu pelik, namun apabila ia didatangkan pada sebuah SUV seperti Tesla Model X, ia terus nampak pelik.

Selepas kira-kira setahun selepas previu kenderaan baharu HiPhi 1, Human Horizon kini menerbitkan beberapa sampel produksi HiPhi X dengan bukaan pintu yang lebih aneh berbanding Tesla Model X.

 


HiPhi X merupakan sebuah crossover/SUV besar yang membawakan bentuk serupa seperti model Faraday Future FF91, dengan konfigurasi enam penumpang dan tiga baris tempat duduk (2+2+2).

Tatkala rupa luarannya tidak begitu mengujakan, tunggu apabila pintu belakang dibuka dengan ciri bukaan wing doors yang menggabungkan ciri pintu suicide dan gullwing.

 


Tiada sebarang informasi lanjut berkenaan spesifikasi HiPHi X ini, namun berdasarkan pengamatan, ia menampilkan butang kawalan untuk pendingin hawa, tetapan tempat duduk, serta ciri pemanasan dan penyejukan pada panel pintu belakang.

Difahamkan, HiPhi X akan hadir dalam konfigurasi pacuan roda belakang dan pacuan semua roda, dengan model paling berkuasa yang mampu memecut sepantas 3.9 saat dari 0-100 km/j.

 


Pek bateri juga akan ditawarkan dalam beberapa opsyen, di mana unit terbesar 96 kWh akan mampu membenarkan jarak operasi sejauh 610 km mengikut data kitaran NEDC.

Human Horizon diberitakan bekerjasama dengan Microsoft untuk membangunkan sistem kepintaran buatan untuk HiPhi X, menawarkan sehingga tahap ketiga fungsi pemanduan autonomi serta menyokong kemaskini over-the-air.

Ia bakal memasuki pasaran China menjelang separuh pertama tahun 2021.