HiPhi A 2025 - tiga motor elektrik, 0-96 kmsj dua saat, kuasa 1,287 hp!

oleh Mohamad Hanif|
Tidak sah kalau kita bercerita tentang pasaran Tanah Besar China tanpa kehadiran (sebuah lagi) model kenderaan elektrik serba baharu.

Ucapkan selamat datang kepada HiPhi A, sebuah shooting-brake lima pintu yang mampu menjanjikan pecutan 0-96 km/j sekitar dua saat dan kelajuan maksimum 300 km/j.

Syarikat Human Horizons yang memegang jenama HiPhi sebelum ini telah pun melancarkan model SUV HiPhi X serta hatchback elektrik HiPhi Z, di mana model HiPhi A ini bakal ditawarkan seawal tahun 2025.
 

A


Menurut Human Horizons, huruf A pada HiPhi A sebenarnya merujuk kepada Apollo - syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan hypercar Intensa Emozione dan Project Evo.

Sistem trenkuasa elektrik HiPhi A ini menampilkan tiga motor elektrik, satu di depan dan dua lagi pada gandar belakang, di mana ia mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 1,287 hp.

Kapasiti pek bateri tidak diketahui, namun ia dikatakan mampu menghasilkan kuasa kemuncak sehingga 1,500 kW yang dipadankan dengan senibina elektrik 800-voltan.
 

A


Selain itu, perumah pek bateri itu juga dikatakan kalis api dan mempunyai panel bawah kalis peluru.

Casis HiPhi A mempunyai nisbah pembahagian berat badan hampir ideal 50/50, dibantu dengan komponen seperti peredam adaptif, sistem stereng gandar belakang dan sistem torque-vectoring yang dapat membantu meningkatkan aspek pengendalian dan pemberhentian.

Rupa paras HiPhi A nyata seakan sebuah kereta konsep yang sangat liar, menampilkan bampar yang agresif, sayap belakang kekal yang besar, sistem brek seramik karbon serta banyak elemen gentian karbon.
 

A


Tidak fokus kepada aspek prestasi, HiPhi A juga turut menawarkan ciri mewah pada ruang kabin, seperti sistem audio Meridian dengan 23 pembesar suara, trim kulit Nappa, serta sistem keselamatan yang bergantung kepada 34 penderia termasuklah LIDAR.

Pada bahagian papan pemuka, terdapat dua skrin yang memaparkan imej kamera sisi, sistem pencahayaan ambien, serta skrin sentuh sebesar 15 inci yang boleh dilaras sebanyak 8 tahap menerusi 'khidmat' lengan robot berbilang paksi HiPhi Bot.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Namun kali ini, pengeluar automotif China Human Horizons mengemukakan saman terhadap Renault dan…
Berita Global
Mungkin jika kami jadi media automotif di sana, setiap bulan kami akan mengiklankan jawatan kerja…