Langkah ini menandakan usaha besar-besaran untuk mewujudkan satu kuasa besar baharu dalam industri trak dan bas, dengan matlamat memperkukuhkan keupayaan Jepun dan rantau Asia Pasifik dalam membangunkan teknologi mobiliti komersial masa hadapan.
Butiran Kerjasama:
-
Mitsubishi Fuso dan Hino akan digabungkan atas dasar kesaksamaan dalam pembangunan, perolehan, dan pengeluaran kenderaan komersial.
-
Syarikat pegangan baharu yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Saham Tokyo dijangka mula beroperasi pada April 2026.
-
Toyota dan Daimler Truck masing-masing akan memiliki 25% kepentingan dalam syarikat pegangan ini, yang bakal memiliki 100% saham dalam Mitsubishi Fuso dan Hino.
-
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pegangan ini akan disandang oleh Karl Deppen (kini CEO Mitsubishi Fuso), dan ibu pejabat akan beroperasi dari Tokyo.
Penggabungan ini bakal melibatkan lebih 40,000 pekerja secara keseluruhan, sekaligus menjadikannya antara syarikat kenderaan komersial terbesar di rantau ini dengan sumber dan teknologi untuk memacu pembangunan CASE (Connected, Autonomous, Shared, Electric), termasuk teknologi hidrogen.
Visi Bersama untuk Masa Depan
Koji Sato (Toyota), Satoshi Ogiso (Hino), Karin Rådström (Daimler Truck), dan Karl Deppen (Mitsubishi Fuso) sepakat bahawa kerjasama ini bukan sekadar penyatuan perniagaan, tetapi titik permulaan untuk membina masa depan yang lestari bagi sektor mobiliti. Mereka juga menekankan kepentingan sinergi budaya dan operasi untuk mencipta nilai yang lebih besar kepada pelanggan dan masyarakat.
Dalam kenyataan bersama, keempat-empat syarikat menyatakan bahawa kenderaan komersial merupakan infrastruktur sosial penting yang menyokong kehidupan harian, dan mereka komited untuk menyelesaikan cabaran seperti keperluan karbon sifar dan kecekapan logistik menerusi inovasi teknologi.
Maklumat lanjut termasuk nama rasmi syarikat pegangan akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang selepas mendapatkan kelulusan lembaga pengarah, pemegang saham, dan pihak berkuasa berkaitan.