Satu perjanjian yang terbentuk antara Hertz dan Polestar menyaksikan pembelian sekurang-kurangnya 65,000 unit kenderaan elektrik untuk ditambah ke dalam armada kereta sewa syarikat itu.
Para pengguna kini boleh memilih kereta sewa berjenama Polestar daripada Hertz bermula musim bunga ini di Eropah, dan menjelang akhir tahun ini di Amerika Utara.
Pembelian ini merupakan penambahan terbaharu kepada barisan kenderaan elektrik yang kini terdiri daripada 100,000 unit Tesla Model 3 di mana sebahagiannya telah pun didapati di beberapa bandar besar di Amerika Syarikat.

Ini merupakan antara tempahan terbesar buat Polestar, memandangkan syarikat itu hanya sekadar menjual sebanyak 29,000 unit kenderaan pada tahun 2021, dan Polestar turut merancang untuk mencapai sasaran produksi 290,000 unit menjelang tahun 2025.
Setakat ini, Hertz tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung kos yang perlu dibayar untuk menyewa sebuah EV Polestar.
Namun, unit kenderaan elektrik daripada Sweden itu juga akan turut ditawarkan kepada pemandu perkhidmatan perkongsian kenderaan.
Hertz sebelum ini berdepan dengan masalah hutang $17 bilion disebabkan oleh wabak pandemik yang melanda pada tahun 2020, yang mendorong syarikat itu untuk memfailkan kebankrapan.
Namun begitu, Hertz berjaya bangkit semula pada Julai 2021 sebagai sebuah syarikat yang lebih kuat berbanding dahulu.