Kepada golongan yang tamak dan gilakan kuasa (bukan iklan pilihanraya), usah risau.
Hennessey kini menyediakan satu pakej Mustang yang jauh lebih bertenaga dan mampu untuk memalukan supercar di luar sana.
Pakej ini dinamakan sebagai Hennessey Venom 1200, di mana ia menampilkan modifikasi seperti unit pengecas lampau 3.8 liter berkapasiti tinggi, sistem induksi aliran tinggi, sistem saliran dan pancitan bahan api serba baru, sementara transmisi klac berkembar tujuh kelajuan itu turut dikalibrasi kembali.
Secara keseluruhan, Venom 1200 ini mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,204 hp dan 1,223 Nm dengan menggunakan suapan bahan api E85.
Setiap unit Venom 1200 ini akan didatangkan dengan plak bernombor, lencana luar spesifik, serta pilihan rekaan liveri yang boleh ditentukan sendiri oleh pemilik.
Contoh liveri merah, putih dan hitam yang dipamerkan ini diinspirasikan daripada Ford GT40 yang berlumba di dalam Daytona 24 jam tahun 1966, dan ia menelan kos sebanyak $4,950.
Harus diingat, sebanyak 66 unit sahaja Venom 1200 yang akan dihasilkan, dan setiap satu dijual pada harga bermula dari $59,950 (RM283,114) TIDAK TERMASUK kos sebuah Mustang Shelby GT500 yang berharga $79,420 (RM375,061).
Sebelum diedarkan, setiap Venom 1200 akan menjalani ujian pemeriksaan dyno bagi memastikan ia mampu menghasilkan kuasa seperti yang telah ditetapkan.
Hennessey menawarkan jaminan selama satu tahun atau jarak perbatuan 19,000 km.