Helmet ada tarikh luput?

oleh Careta.my|
Modenas
1 Betul ke topi keledar atau helmet ada tarikh luput? Walaupun yang dijaga elok dan tak pernah jatuh? Malangnya, tiada yang kekal selama-lamanya. Helmet juga mempunyai jangka hayat yang terhad seperti hampir semua barangan yang dibuat manusia, walau sebaik mana sekali rupa luaran nya, dan macamana elok sekali pun anda menjaga nya..... Mari kita teliti sebab nya. Fikirkan topi keledar anda sebagai satu "sistem pengurusan tenaga" dan bukannya sebagai sebuah perisai kepala. Pertama sekali, kita perlu mengkaji bagaimana sebuah topi keledar dibina. Di bahagian dalam sekali tiap topi keledar ada pelapik keselesaan yang dibuat dari kain lazimnya. Kebanyakan pelapik kini boleh ditanggalkan dan dicuci. clean-motorcycle-helmet-34 Di bahagian luar sekali pula merupakan cengkerang topi keledar. Ini lah barisan pertama perlindungan oleh topi keledar itu. Cengkerang luar topi keledar pula diperbuat daripada sama ada dari beberapa jenis polikarbonat atau gentian kaca. Ada yang dijalin dengan Kevlar atau serat karbon (carbon-fiber) untuk mengurangkan berat. Malah, ada yang dibuat semata-mata dengan serat karbon dan amat ringan (serta mahal...) Cengkerang juga membolehkan topi keledar mengekalkan bentuknya, selain menghalang penembusan, disamping menanggung beban lelasan. Dan di antara kedua dua pelapik dan cengkerang merupakan pelapik EPS (Expanded Polystyrene Foam) atau busa polisterin. Pelapik itulah yang sebenarnya melindungi anda. Pelapik EPS ini ada jenis yang terdiri daripada beberapa keping, manakala ada jenama seperti Arai yang memilih untuk menggunakan satu keping sahaja. innershell Tugas lapik EPS ini adalah untuk melapik kepala anda ketika hentakan, dalam dua cara. Pertama, ia menyerap daya luar; dan kedua ia menyerap tenaga gerakan kepala anda di dalam topi keledar anda ketika anda bergerak ke hadapan. Melalui ke dua dua jenis lapikan ini, pelapik EPS pada dasarnya memberikan kepala anda lebih ruang agar ia selamat berhenti daripada gerakan pantas ketika sebarang kejutan. Ini mencegah sebarang kecederaan kepada otak. Pelapik EPS ini memampat dan berubah bentuk dalam memberikan perlindungan berkesan. Malangnya, untuk ia benar benar berkesan melindungi kepala anda, polisterin ini tidak direka untuk kekal bentuk nya, terutamanya apabila terhentak. Ia juga secara semulajadi mengecut dari masa ke masa. Basic_Helmet_Construction Polisterin putih ini biasa kita lihat dalam pembungkusan, dan kita semua tahu ia amat rapuh dan mudah reput. Topi keledar anda mungkin terdedah kepada banyak unsur-unsur luaran. Oleh itu ia mempunyai jangka hayat yang terhad. Umumnya anda disaran untuk menggantikan topi keledar setiap tiga hingga lima tahun, manakala ada beberapa pengilang akan mengesyorkan gantian topi keledar kira-kira tujuh tahun selepas tarikh pengeluaran. Biasanya terdapat pelekat tarikh pengeluaran di bawah satu bahagian pelapik keselesaan. Helmet_manufacture_date Topi keledar anda merupakan peralatan yang paling penting dalam perlindungan keselamatan. Jika keupayaannya semakin dikompromi mengikut usia nya, maka tindakan terbaik yang anda boleh lakukan adalah untuk menggantikannya secara berkala. Walaupun terasa mahal, tetapi nyawa anda lebih bernilai tentu nya.... Topi keledar yang dibaikpulih, atau jenis klasik yang disimpan sebagai koleksi yang berusia mungkin dibeli mahal, tetapi tidak mampu menjanjikan keselamatan anda.

Add new comment