Helikopter terhempas: empat mangsa kini dirawat

oleh Penyumbang Rencana 2|
Empat mangsa yang cedera dalam insiden helikopter terhempas semasa melakukan pendaratan cemas di kawasan Brinchang, Cameron Highlands, Pahang berjaya dibawa keluar dari tempat nahas ke zon rawatan untuk penilaian perubatan, setakat 7 malam ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata dua daripadanya telah dirujuk ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom (HoSHKA), Cameron Highlands untuk pemeriksaan lanjut dan penilaian semula status kesihatan masing-masing, manakala dua lagi mangsa masih di zon rawatan.

Beliau juga memaklumkan dua lagi mangsa sedang dibawa keluar dari tempat nahas ke zon rawatan.

"Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selaku pasukan ‘first responder’ telah sampai ke lokasi kejadian dan sedang berusaha membawa turun semua mangsa. Dua pasukan perubatan kecemasan diketuai seorang pakar perubatan kecemasan juga digerakkan ke tempat kejadian dari HoSHKA.

"Semua mangsa akan dibuat penilaian terlebih dahulu oleh pasukan petugas perubatan di zon rawatan sebaik dibawa keluar dari tempat nahas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy berkata mangsa yang sudah stabil akan dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, manakala bagi mangsa yang cedera akan distabilkan terlebih dahulu di HoSHKA sebelum dirujuk ke HRPB. 

Beliau juga memberitahu kejadian itu melibatkan Pasukan Doktor Udara (PDU) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta dan notifikasi kejadian telah diterima HoSHKA pada 1.50 tengah hari daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands.

Menurutnya semasa kejadian, pasukan berkenaan dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai membuat lawatan berkala ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.

Khairy memaklumkan jumlah mangsa terlibat adalah enam orang yang terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat kesihatan, pembantu kesihatan awam, jururawat masyarakat dan seorang juruterbang.

"Semua mangsa selamat. Punca helikopter membuat pendaratan kecemasan masih dalam siasatan. Perkembangan terkini kejadian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Pemerhatian Bernama di lokasi kejadian mendapati, ambulans dilihat membawa mangsa kelima dan keenam keluar dari lokasi kejadian pada kira-kira 9 malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima laporan daripada menara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengenai helikopter yang terhempas di sempadan Perak-Pahang itu sekitar 1.20 tengah hari.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan pada koordinat yang kita telah kenal pasti berhampiran sempadan negeri Perak dan kesemua mangsa terdiri daripada PDU PKD Kinta telah ditemukan dalam keadaan selamat, namun mengalami kecederaan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap JBPM Pahang berkata seorang jururawat wanita patah di bahagian paha manakala lima yang lain termasuk juruterbang mengalami cedera ringan dalam insiden itu.

 "Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.43 tengah hari dan berjaya sampai ke lokasi helikopter berkenaan terhempas yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands pada 3.51 petang.

"Seramai 38 anggota dan sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian," katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, CAAM mengesahkan telah menerima maklumat berhubung kemalangan udara membabitkan sebuah helikopter jenis Airbus AS 355 F2 dengan nombor pendaftaran 9M-SSW di Cameron Highlands itu pada 1.03 tengah hari.

Helikopter berkenaan dikendalikan oleh Layang Layang Aerospace Sdn Bhd.

Sumber: Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, helikopter berkenaan sepatutnya diterima oleh TDM pada Nov lepas, bagaimanapun susulan…
Informasi
Menurutnya, H160 turut diiktiraf oleh European Union Aviation Safety Agency (EASA), US Federal…
Berita Domestik
  Katanya, sebuah helikopter didapati mendarat di lokasi berkenaan untuk menghantar seorang…