Beliau berjaya memenangi perlumbaan pada hari pertama dan menduduki tempat ketiga pada hari seterusnya.
Kedua-dua perlumbaan sebanyak 12 pusingan itu diadakan pada 16 dan 17 Disember bertempat di Litar Antarabangsa Chang, Thailand.
Hayden memulakan minggu perlumbaan kali ini dengan mencatat masa terpantas dalam sesi latihan sebelum mendapat tempat ketiga terpantas dalam sesi kelayakan.
Pada perlumbaan pertama, Hayden yang memandu Honda Brio Amaze bagi pasukan Pipekids Racing mendominasi perlumbaan dengan 12 pusingan di kedudukan paling hadapan.
Perlumbaan menjadi semakin sengit apabila pelumba dari pasukan V-Are Pro Garage, Athipong Khumtong dan Danuwat Worakitichai dari pasukan Insane Motorsport mencabar kedudukan Hayden di babak pusingan terakhir.
Athipong yang mendahului pusingan terakhir walau bagaimanapun dipintas semula oleh Hayden di beberapa selekoh sebelum ke garisan penamat.
Hayden memenangi perlumbaan tersebut dengan perbezaan hanya 0.6 saat sahaja di hadapan Athipong.
Di perlumbaan kedua pula, Hayden perlu bekerja keras untuk mendapat kedudukan tempat ketiga ekoran memulakan perlumbaan tersebut di grid kelima.
Beliau perlu bertarung dengan tiga lagi perlumba untuk mencatat kedudukan terbaik di perlumbaan tersebut.
Perlumbaan sengit yang diadakan itu melibatkan empat pelumba bersaing di empat pusingan terakhir sebelum garisan penamat.
Kejayaan pada dua perlumbaan pusingan kali ini merupakan keputusan terbaik bagi pasukan Pipekids Racing untuk 2023 setelah menduduki tempat kedua dan keempat di pusingan kedua kejuaraan.
Penulis: Firdaus Razani