Hasrat hadiahkan kereta untuk bapa tak kesampaian, adik meninggal dunia diserang sawan lihat abang kemalangan

oleh SALINA JALIL|
Dua beradik tidak sempat menghadiahkan kereta baru untuk ayah mereka apabila terbabit kemalangan di Kilometer 17, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, dekat sini, jam 4.15 petang semalam.


Mangsa, Hafidzan Zainal, 44, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, dekat sini, pada 8.20 malam, manakala adiknya, Mohd Fauzi Zainal, 39, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital susulan diserang sawan di lokasi kemalangan.

 

Ahli keluarga mangsa, Shah Rizal Zainal, 41, berkata, ketika kejadian abang dan adiknya dalam perjalanan pulang membawa sebuah kereta terpakai untuk dihadiahkan kepada bapa mereka, Zainal Sulong, 63.

 

"Mereka ke Felda Pasoh, Jelebu untuk mengambil kereta yang dibeli untuk ayah. Ketika pulang Hafidzan memandu kereta yang dibeli, manakala Mohd Fauzi mengekori di belakang.

 

"Saya dimaklumkan ketika kejadian, Mohd Fauzi agak jauh di belakang.

 

"Memang tidak boleh nak kata apa-apa, hasrat untuk berikan ayah kereta tidak tercapai dan kami kehilangan dua orang ahli keluarga sekali," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, berdasarkan siasatan awal, Mohd Fauzi melihat abangnya terbabit kemalangan, dan pada masa sama mangsa pengsan dan mulutnya berbuih dipercayai diserang sawan.

 

"Susulan itu, Mohd Fauzi dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan manakala abangnya meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital," katanya.

 

Sementara itu, isteri Hafidzan Jamilah Bukhari, 44, suaminya dalam perjalanan balik ke Seremban selepas membeli kereta yang dipandunya daripada kawan adiknya, di Felda Pasoh Jelebu.

 

"Saya seperti tidak percaya apabila anak beritahu suami kemalangan, sebelum dia menunjukkan gambar keadaan kereta dinaiki suami remuk dan ada kecederaan di kepala suami.

 

"Sebelum (suami) pergi, dia tidak memberi apa-apa pesanan, malah, saya sendiri tidak tahu perancangan mereka ke Pasoh untuk membeli kereta berkenaan.

 

"Secara tiba-tiba saya diberitahu suami kemalangan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital," katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Taman Kobena Senawang.

 

Jamilah yang berkerusi roda kerana menghidap penyakit diabetes dan buah pinggang sejak lebih setahun lalu berkata, suami juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap atau kelakuan pelik.

 

"Cuma kebelakangan ini dia hanya banyak ketawa ketika bersembang, saya rasa agak pelik tetapi tidak mengesyaki apa-apa.

 

"Tidak menyangka ia adalah petanda bahawa dia akan meninggalkan kami sekeluarga," katanya yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sendayan.

 

 

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan daripada Wartawan Polis Daerah Montgomery, pemandu itu didakwa memandu pada kadar…
Berita Domestik
Menikut pertuduhan, Muhammad Huzaifah didakwa memandu lori terbabit dalam keadaan berbahaya di…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata hasil siasatan awal…