Hasil kajian mekanisme subsidi petrol golongan M40 diumum tahun hadapan

oleh Mohamad Hanif|
Kerajaan akan mengumumkan hasil kajian mengenai mekanisme subsidi petrol bagi isi rumah kumpulan berpendapatan sederhana (M40) pada tahun depan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng, hari ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Beliau berkata kerajaan masih dalam peringkat meneliti mekanisme tersebut yang dijangka siap menjelang Mac, 2020.

“Kajian membabitkan M40 itu dijangka siap pada Mac dan kita akan membuat pengumuman selepas itu," katanya kepada pemberita selepas sesi 'In Conversation with the Finance Minister and Halifax Bank of Scotland whistleblower, Paul Moore,' (Bicara Bersama Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) dan Pemberi Maklumat Halifax Bank Of Scotland, Paul Moore) di sini, hari ini.

Sesi yang dikendalikan oleh Rakan Kongsi dan Ketua Perundingan Risiko dan Perkhidmatan Forensik PwC Malaysia, Alex Tan, diadakan bersempena Sidang Kemuncak Pengarah Antarabangsa 2019.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution dipetik sebagai berkata, kerajaan akan mengumpulkan maklumat sewajarnya bagi menentukan bilangan mereka daripada kumpulan M40 yang layak untuk menikmati manfaat Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2020 pada Jumaat lepas.

Menurut Saifuddin, kementerian beliau akan membincangkan secara lanjut perkara itu dengan Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan bagi merangka mekanisme untuk mengenal pasti hanya mereka yang benar-benar layak dapat menikmati manfaat itu.

Sumber: Bernama