Harimau belang mati digilis lori di JRTB

oleh Hamimah Hamid|
SEEKOR harimau belang dewasa ditemukan mati digilis sebuah lori di Kilometer 67.1, di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.

Kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu membabitkan lori yang dalam perjalanan dari arah Gerik ke Jeli dan berlaku selepas Hentian Titiwangsa.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, jantina haiwan pemangsa itu tidak dapat dikenal pasti ekoran keadaan karkas yang hancur.

 

“Maklumat berkaitan kejadian itu diterima pada pukul 9 pagi di mana kakitangan Perhilitan Daerah Gerik telah ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

 

“Ketika tiba di sana, didapati keadaan karkas hancur akibat dilanggar kenderaan lain. Disebabkan itu, sukar untuk kita mengenal pasti jantina dan anggaran umur haiwan liar tersebut namun dipercayai ia harimau dewasa,” katanya. 

 

Menurut beliau, keadaan badan harimau yang telah hancur itu juga menyukarkan pihaknya untuk membuat pengecaman bagi mengenal pasti ID Kumpulan haiwan liar tersebut.

 

“Bagaimanapun, kita percaya harimau belang ini dari hutan berhampiran sama ada Hutan Simpan Temengor, Hutan Simpan Gerik atau Royal Belum,” katanya.

 

Tambahnya, karkas harimau itu akan dihantar ke Institut Biodiversiti (IBD) Lanchang, Pahang bagi proses taksedemi (pengawetan) khususnya di bahagian kepala mamalia itu yang masih tersisa.

 

Terdahulu, tular di media sosial beberapa video memaparkan harimau belang dilanggar lori dengan keadaan badan hancur dan kepala putus. 

 

Sumber: Utusan