'Hari Ahad Bebas Kereta' kembali selepas empat tahun dihentikan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Berita Harian
Orang ramai turun ke jalan raya pada Ahad berikutan beberapa jalan di sepanjang Daerah Sivik Singapura dan Daerah Pusat Perniagaan (CBD) ditutup kepada lalu lintas untuk Hari Ahad Bebas Kereta, yang kembali dilaksanakan selepas empat tahun dihentikan.

Orang ramai mengambil peluang ini untuk memenuhi jalan di kawasan yang ditetapkan termasuk Jalan St Andrew dan Esplanade Drive dengan pelbagai kaedah - berjalan kaki, berbasikal, "kick-scooter", "roller-blade" dan banyak lagi - sebaik sahaja acara itu bermula pada 8 pagi.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Arkitek, Sze Chong, 64, berkata beliau berbasikal lebih daripada 12 kilometer (km) dari rumahnya di Pasir Panjang untuk menyertai acara hari ini dan menikmati kebebasan di jalan raya tanpa kehadiran kenderaan yang lebih besar.

"Saya biasa menyertai (Hari Ahad Bebas Kereta) pada 2019 sebelum mereka menghentikannya kerana pandemik, jadi sekarang mereka memulakannya kembali. Bagus untuk membuka kawasan bandar raya ini bagi keluarga dan semua golongan dan juga terdapat banyak program.

Saya harap acara ini boleh menjadi lebih besar. Sekarang ia hanya kira-kira 4.5 km untuk satu pusingan," katanya kepada Bernama sambil berharap Hari Ahad Bebas Kereta akan diadakan lebih kerap pada masa akan datang.

Sementara itu, Amy, 50 yang datang bersama suami dan anak perempuannya berumur 11 tahun untuk meluangkan masa bersama keluarga berkata beliau berharap acara ini dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali setiap bulan.

Ïa adalah satu idea yang bagus kerana kami jarang berpeluang untuk berjalan di atas jalan ini, hari ini kami dapat berbasikal, meluncur dan terdapat banyak reruai untuk bersuka ria dan aktiviti untuk disertai keluarga.

Program anjuran Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) menggalakkan pengurangan penggunaan kereta di negara ini dan mewujudkan kesedaran awam terhadap manfaat berjalan kaki, berbasikal dan menggunakan pengangkutan awam sebagai kaedah perjalanan yang mampan.

Ia juga menggalakkan pejalan kaki dan pengguna peralatan bergerak aktif untuk mengguna pakai etika berkongsi ruang dengan selamat dan harmoni.

Pelbagai permainan dan aktiviti juga berlangsung semasa acara itu seperti "korfball'' dan senaman "piloxing" secara beramai-ramai. 

 

Bernama