Hiace tidak mencapai tahap 'Hailak' di mana pengguna mengenali pikap jenama lain sebagai Hilux, tetapi van ini cukup popular sebagai kenderaan pengangkutan komersil. Warna putih sinonim dengan van ini.
Perubahan besar untuk van ini ialah bonet separuh yang membolehkan enjin dianjak melepasi gandar depan dan kerusi seterusnya membolehkan akses lebih baik ke ruang enjin, keselamatan, kestabilan dan keselesaan yang juga lebih bagus.
Perubahan yang juga signifikan ialah pelantar lebih panjang dan lebar. Pemandu kini mudah untuk masuk ke kabin dengan posisi duduk lebih rendah dan kabin yang direka dengan ciri ergonomik untuk kesenangan dan keselesaan pemandu.
Ciri untuk pemandu setara dengan kereta sedan seperti kerusi dengan ketinggian boleh laras, stereng tilt dan telescopic serta fungsi untuk kawalan audio, infohibur dan sistem kawalan jelajah.
Selepas pelancaran global di Filipina, ada yang tertanya berapakah harganya? Toyota Australia nampaknya mendahului beberapa pasaran utama dengan mendedahkan varian serta harga.
Berikut ialah varian dan harga Toyota Hiace untuk pasaran Australia:
Varian | Enjin | Transmisi | Harga AUD/RM |
LWB van Long wheelbase |
3.5-liter V6 petrol | Manual | $38,640/RM112,195 |
Automatik | $40,640/RM117,977 | ||
2.8-liter turbo-diesel | Manual | $42,140/RM122,334 | |
Automatik | $44,140/RM128,186 | ||
LWB van kru | 2.8-liter turbo-diesel | Automatik | $47,140/RM136,898 |
SLWB van Super long wheelbase |
3.5-liter V6 petrol | Automatik | $48,640/RM141,254 |
2.8-liter turbo-diesel | Automatik | $52,140/RM151,410 | |
Commuter | 2.8-liter turbo-diesel | Automatik | $67,140/RM |
Commuter GL | 2.8-liter turbo-diesel | Automatik | $70,140/RM |
*1 AUD = RM2.903
Berdasarkan varian yang ditawarkan Toyota Hiace mempunyai dua jenis enjin iaitu 2.8 liter turbo diesel dan 3.5 liter V6 petrol. Cara enjin dibahagikan mengikut varian kecuali Commuter dan Commuter GL memberi pilihan kepada pelanggan untuk membuat keputusan berdasarkan peruntukan dan keperluan muatan.
Jenis badan pula mempunyai tiga jenis iaitu LWB, SLWB dan Commuter. Varian LWB mempunyai pilihan van kru untuk muatan sehingga empat penumpang dan pemandu.
Untuk pelanggan yang lebih mengutamakan penumpang berbanding muatan, Toyota menawarkan Hiace Commuter dengan 12 tempat duduk.
Hiace Commuter GL pula adalah varian dengan spesifikasi lebih lengkap seperti pintu gelungsur berkuasa, penyaman udara depan dan belakang, enam soket USB, lapan lampu membaca, balutan interior mewah dan roda aloi 16 inci.
Dari segi kelengkapan keselamatan, Hiace kali ini lebih lengkap dengan teknologi Toyota Safety Sense.
Berikut ialah di antara kelengkapan standard Toyota Hiace:
- Sistem keselamatan pra pelanggaran dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal siang hari
- Amaran penukaran lorong dengan bantuan stereng
- Bantuan papan tanda jalan (terhad kepada sesetengah kelajuan)
- Lampu puncak automatik
- Kawalan jelajah
- Brek anti kekunci
- Kawalan penstabilan kenderaan
- Monitor titik buta
- Amaran lintasan trafik semasa mengundur
- Kamera undur
- Sembilan beg udara (bergantung kepada varian)
Bagaimana pula dengan Toyota Hiace versi tempatan? Masih terlalu awal untuk disahkan tentang bila bakal dijual atau berapa harganya.
Sebagai perbandingan, Toyota Hiace 2.5 turbo diesel jenis van panel dipasarkan oleh UMWT pada harga RM98,000.
Harga Toyota Hiace baharu mungkin lebih tinggi kerana segala-galanya lebih baik dan selamat.
Penulis: Muhammad Md Tajudin