Harga Renault Megane RS Trophy saingi Honda Civic Type R

oleh Mohamad Hanif|
Renault telah pun mengesahkan harga jualan rasmi bagi pencabar kepada Honda Civic Type R dan Volkswagen Golf GTi, iaitu Renault Megane RS Trophy dengan harga jualan bermula dari £31,810 (RM168k mengikut kadar pertukaran mata wang semasa).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Seperti yang kami pernah siarkan sebelum ini, varian Trophy ini menerima pelbagai naiktaraf dari segi pakej luaran, nadi kuasa, dan casis jika dibandingkan dengan varian standard.
 


Enjin yang serupa didapati pada model Alpine A110, iaitu enjin empat silinder 1.8 liter berkuasa turbo itu menerima naik taraf komponen turbo jenis ball bearing seramik daripada teknologi F1 - bertujuan mengurangkan geseran dalaman dan membolehkan turbin berpusing dengan lebih pantas. 

Sistem ekzos juga telah dirombak semula dengan menggunakan injap mekanikal yang boleh mengalunkan irama yang berbeza mengikut lima mod pemanduan yang ditetapkan oleh pemandu seperti Comfort, Normal, Sport, Race dan Perso.
 


Perubahan ini turut memberikan kesan kepada kuasa, dimana versi manual enam kelajuan mempunyai 296 bhp dan 400 Nm, manakala versi automatik pula menerima tambahan daya kilas 20 Nm. 

Kuasa tersebut diterjemahkan kepada pecutan dunia sebenar sepantas 5.7 saat dari 0-100 km/j dengan kelajuan tertinggi dicatatkan pada 260 km/j.

Varian Trophy menerima casis RS Cup sebagai asas, dan turut dibantu dengan talaan pada sistem suspensi, penyerap hentak, dan bar anti-oleng yang lebih tegar, menyumbang kepada pengendalian yang lebih jitu dan mampu untuk mencabar Honda Civic Type R bila-bila masa sahaja.  
 


Kemasan Alcantara pada kerusi jenis bucket Recaro menghiasi ruang dalaman dengan ketinggian kerusi yang direndahkan sebanyak 20 mm untuk menambah baik posisi memandu - titik graviti yang rendah memudahkan pengendalian kereta terutama ketika menyerang selekoh-selekoh.   

Terdapat dua pilihan rim disediakan - Jerez dan Fuji - masing-masing ditawarkan dengan saiz 19 inci serta pilihan tayar dari Bridgestone Potenza S001 dan S007s.
 


Harga jualan Renault Megane RS Trophy bermula dari £31,810 (RM168k), dan sebagai perbandingan, Honda Civic Type R berharga £31,525 (RM166,161).