Vietnam Catat Lonjakan Paling Tinggi
Antara negara paling terkesan ialah Vietnam, apabila kerajaan negara itu mengumumkan harga petrol RON95 naik sekitar 20 peratus kepada kira-kira RM4.70 seliter. Dalam masa sama, harga diesel turut melonjak hampir 34 peratus, mencecah sekitar RM5 seliter satu peningkatan yang memberi tekanan besar kepada kos logistik dan kehidupan harian rakyat.

Negara Serantau Turut Terhimpit
Situasi sama turut dirasai di negara jiran lain termasuk Laos, Myanmar dan Thailand yang masing-masing berdepan peningkatan harga bahan api dalam tempoh singkat.
Di Laos, kesan krisis ini bukan sekadar melibatkan sektor pengangkutan. Gangguan bekalan bahan api dilaporkan memaksa pihak berkuasa memendekkan minggu persekolahan kepada hanya tiga hari, menunjukkan betapa seriusnya impak terhadap operasi harian negara tersebut.
Myanmar pula menyaksikan harga bahan api meningkat sekitar 30 peratus dalam tempoh hanya dua hari, sekali gus mencetuskan tekanan mendadak terhadap pengguna dan sektor perniagaan kecil.
Indonesia Kekalkan Subsidi
Di Indonesia, kerajaan mengambil pendekatan berbeza dengan mengekalkan harga bahan api bersubsidi walaupun harga minyak mentah global kini melebihi paras AS$100 setong. Langkah ini bertujuan melindungi rakyat daripada kejutan harga, namun dalam masa sama memberi tekanan kepada fiskal negara.

Protes Meletus di Filipina
Sementara itu di Filipina, lonjakan harga diesel mencetuskan protes besar-besaran dalam kalangan pemandu jeepney. Mereka mendakwa kenaikan kos bahan api menjejaskan pendapatan harian, sekali gus menimbulkan isu kelangsungan hidup bagi golongan berpendapatan rendah.

Malaysia Masih Terkawal
Dalam konteks Malaysia, keadaan masih terkawal apabila harga runcit petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter hasil mekanisme subsidi kerajaan. Walaupun negara turut berdepan tekanan daripada kenaikan harga minyak global, langkah kawalan ini berjaya mengekalkan kestabilan harga di peringkat pengguna.
Namun begitu, dengan ketidaktentuan geopolitik yang masih berlarutan, tekanan terhadap harga bahan api di rantau ini dijangka berterusan dan persoalan sama ada Malaysia mampu mengekalkan subsidi dalam jangka panjang kini semakin relevan.
Sumber: Buletin TV3