Harga petrol di Vietnam melonjak lebih 20 peratus semalaman

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Harga petrol di Vietnam naik lebih 20 peratus selepas kerajaan menaikkan harga secara mengejut susulan kebimbangan kekurangan bekalan akibat konflik di Asia Barat.

Sebelum tengah malam Jumaat, kerajaan Vietnam mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 20 peratus kepada AS$1.20 seliter (RM1.22) bermula hujung minggu ini, manakala harga diesel naik hampir 34 peratus kepada 33,420 dong (kira-kira RM5).

Kenaikan itu menjadikan harga RON95 dan diesel di negara hab pembuatan itu, masing-masing meningkat lebih 50 dan 70 peratus sejak konflik bermula pada akhir Februari.

Kementerian Perdagangan Vietnam dalam satu kenyataan berkata, kenaikan itu berpunca daripada konflik di Asia Barat, kawalan Iran ke atas Selat Hormuz yang strategik serta perang Russia-Ukraine yang mempengaruhi harga bahan api global.

Perdana Menteri, Pham Minh Chinh juga dilaporkan menghubungi beberapa negara seperti Qatar, Kuwait, Algeria dan Jepun untuk mendapatkan bekalan bahan api.

Seorang penduduk Hanoi berkata, kenaikan harga itu mengurangkan kesesakan di jalan raya yang biasanya sibuk di ibu negara.

"Lalu lintas nampak lebih lancar kerana ramai tidak mampu menanggung kenaikan harga bahan api berterusan seperti saya. Orang biasa seperti saya yang paling terkesan dengan krisis bahan api ini," kata pekerja pejabat, Minh Anh selepas menaiki kereta api ke tempat kerja.

Negara jiran seperti Laos, Myanmar dan Thailand turut berdepan kenaikan harga bahan api, malah Laos terpaksa memendekkan minggu persekolahan kepada tiga hari akibat gangguan bekalan. Di Myanmar, harga bahan api di stesen minyak meningkat kira-kira 30 peratus antara Khamis dan Jumaat.

Wartawan AFP melihat barisan panjang kenderaan di sebuah stesen minyak berhampiran Mandalay apabila pemandu berpusu-pusu mengisi tangki. Thailand turut menyaksikan harga bahan api meningkat minggu ini selepas kerajaan mengumumkan kadar diesel lebih tinggi pada Rabu.

Pihak berkuasa memberi amaran kemungkinan penerbangan domestik dikurangkan jika bekalan tidak mencukupi. Namun, kerajaan memberi jaminan bekalan minyak dan gas masih cukup sehingga akhir April.

TheStraitsTimes

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Namun, pada masa sama, beliau menegaskan, kerajaan tetap memberi tumpuan kepada kesan terhadap…
Berita Domestik
Menurut laporan strategi MBSB Research, operasi ketenteraan AS di Venezuela, yang memiliki rizab…
Informasi
"Sekiranya penurunan ke bawah AS$40 berlaku, Malaysia mesti menyeimbangkan usaha menyokong…