Syarat baharu terbabit turut menetapkan keperluan output kuasa minimum 180 kilowatt (kW) bagi model EV import yang layak memasuki pasaran tempatan.
Penganalisis menjangkakan harga jualan akhir meningkat dengan ketara selepas mengambil kira duti import, duti eksais, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus serta margin pengedar.
Penganalisis, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata kesan langsung daripada dasar itu adalah penamatan pasaran bagi EV import mampu milik yang sebelum ini menyasarkan pengguna arus perdana.
"Dasar ini secara efektif menamatkan pasaran bagi EV import mampu milik untuk segmen pasaran massa, termasuk model asas daripada jenama import seperti BYD, GWM dan MG," katanya.
Pengguna masih mempunyai peluang terhad untuk mendapatkan model EV import pada harga sedia ada berikutan stok kenderaan CBU yang sudah berada dalam negara atau sedang dalam transit.
Ianya adalah sebelum tarikh akhir pelaksanaan dasar itu dikecualikan daripada syarat baharu berkenaan. Pengecualian itu akan terus terpakai sehingga semua stok berkenaan habis dijual di pasaran.
Dasar yang bertujuan menggalakkan pembuat kereta global melabur dalam kemudahan pemasangan tempatan (CKD).
"MITI menggunakan sekatan import ini untuk memaksa pembuat kereta global melabur dalam barisan CKD, sekali gus menamatkan pergantungan kepada import murah untuk menguji pasaran," kata Wan Mustaqim.
Menurut Kenanga Investment Bank, langkah berkenaan secara tidak langsung memberi kelebihan komersial kepada jenama tempatan serta pengeluar yang lebih awal melaksanakan operasi pemasangan tempatan.
Antara pihak yang dijangka menerima manfaat ialah Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menerusi kilang mobiliti pintarnya, selain model PROTON dan Zeekr yang dipasang di kilang Tanjung Malim milik DRB-HICOM Bhd.
Turut berpotensi meraih manfaat daripada dasar itu ialah Xpeng, GWM, BAIC dan SAIC yang menggunakan kemudahan pemasangan EP Manufacturing Bhd (EPMB) di Melaka, selain pengeluar kontrak pihak ketiga seperti Inokom Corporation Sdn Bhd di bawah Sime Darby Berhad.