Harga kereta jatuh lagi dua tahun?

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut laporan akhbar The Sun,  harga kereta bakal mengalami penurunan dalam masa lagi dua tahun.

Ini ialah antara efek perjanjian perdagangan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang telah ditanda-tangani oleh Malaysia.

Menurut laporan The Sun, Datuk Seri Ong Ka Chuan, Menteri Kedua Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata dalam sela masa 26 bulan, pelbagai perjanjian perdagangan akan menjadikan pemain industri lebih kompetitif.

Selain dari TPPA, Malaysia juga akan menandatangi perjanjian Komuniti Ekonomi Asean (AEC) dan Perjanjian Perdangan Bebas Asean (AFTA). Dua lagi negara yang akan turut sama dalam perjanjian-perjanjian tersebut ialah Jepun dan Australia.

Ong kemudian menerangkan bagasa penurunan harga kenderaan akan dijana menurut polisi pasaran terbuka dan seluruh dunia akan mengguna-pakai tiga prinsip utama dalam perdagangan - pergerakan barang dan perkhidmatan, tenaga buruh terlatih dan pelaburan, kesemuanya akan memberikan nilai kompetitif yang tinggi dan bakal menurunkan harga kenderaan.

"Di bawah TPPA, kenderaan dari Amerika Syarikat (AS) dan Kanada bakal menerima taraf bebas cukai selama 12 tahun dan Malaysia perlu terbabit di dalam TPPA untuk membolehkan negara bersaing dengan pasaran global," ujar Ong.

"Untuk sementara waktu, syarikat kenderaan nasional akan menerima perlindungan dari kerajaan tetapi selepas 12 tahun, rakyat akan mendapat pelbagai pilihan kenderaan dari jenama antarabangsa," tambah beliau.

Isu ini nampaknya disokong oleh Institut Automotif Malaysia (MAI), agensi di bawah MITI yang bertanggung-jawab untuk membantu pemain industri automotif dalam negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Mohamed Madani Sahari, penurunan harga kenderaan sepatutnya akan bermula seawal tahun hadapan kerana proses rasionalisasi harga kenderaan sudah bermula sejak tahun 2014.

"Kami menganggarkan akan ada penurunan harga sebanyak 20 ke 22 peratus dari sekarang hingga tahun 2018. MAI memantau harga-harga kenderaan di Malaysia dan mendapati penurunan harga memang terbukti berlaku," kata Madani. Beliau turut menekankan bahawa penurunan harga bukan berdasarkan harga-harga promosi yang ditawarkan oleh syarikat kenderaan, tetapi harga asal sendiri yang mengalami penurunan.

Namun laporan tersebut disangkal oleh presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad.

"Kami jangka harga kenderaan akan naik tahun hadapan, ekoran penurunan nilai matawang kita," ujar Aishah. Beliau bagaimanapun yakin jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk 2015 akan mencapai 670,000 unit.

"Sasaran TIV kami tidak menurun kerana kebolehan syarikat kenderaan menawarkan pakej-pakej pinjaman yang menarik dan kenaikan penjualan kenderaan pada bulan Oktober. Pembeli juga mahu membeli kenderaan sebelum harga dinaikkan tahun hadapan," terang Aishah.

Keadaan ini dijangka akan memberikan tamparan hebat kepada Proton yang masih tidak dapat lagi menembusi pasaran luar negara.