Harga jualan ditetapkan oleh syarikat automotif

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Presiden Persatuan Automotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad hari ini berkata harga jualan untuk kenderaan akhirnya ditetapkan sendiri oleh syarikat-syarikat automotif.

"Jika hendak jual mahal pun boleh, tetapi keadaan pasaran yang akan menentukan harga terbaik," ujarnya ketika ditemuramah oleh akhbar-akhbar dari NSTP (baca laporan Berita Harian di sini).

Aishah terus menegaskan bahawa faktor itu akan membolehkan pihak pengguna terus melihat persaingan antara syarikat automotif.

Dalam masa yang sama, Aishah mendedahkan banyak syarikat automotif tidak dapat meneruskan penjualan model-model baharu kerana harga yang tidak dapat diluluskan lagi oleh agensi-agensi kerajaan yang terbabit.

Menurut beliau, kelulusan dari pihak kementerian agar perlahan sedikit dan ini adalah fakta.

"Antara faktornya disebabkan peralihan kerajaan serta pengenalan peraturan baharu," ujar beliau.

"Dahulu, Kementerian Kewangan (MOF) sendiri yang boleh meluluskan harga tetapi sekarang, banyak proses yang membabitkan kerajaan seperti ia perlu melalui MITI, MOF, Jabatan Kastam dan JPJ."

Ia juga ada kaitan dengan pelarasan dana industri yang memerlukan kelulusan.

Aishah seterusnya menerangkan kelambatan proses harga ini menyebabkan pakar industri dan pemerhati pasaran bersetuju ia akan memberikan masalah kepada industri automotif tempatan.

"Masih terdapat elemen perlindungan di pasaran automotif tempatan untuk kelebihan peserta industri tertentu.  Kita perlu membenarkan lebih banyak saingan supaya pengguna diberi pilihan harga kereta yang lebih baik," kata Aishah lagi.

Aishah mengaku bahawa pengeluar kereta juga lebih suka mengumumkan harga produk baharu mereka selepas pesaing mendedahkan harga mereka.

"Ini membolehkan mereka bersaing dari segi ciri fungsi yang ditawarkan selain dari harga kenderaan itu sendiri."

Aishah kemudiannya mengulas bahawa terdapat elemen ketidaktentuan berhubung mekanisma cukai dan insentif khas yang diberikan, khususnya kenderaan cekap tenaga (EEV), model import sepenuhnya (CBU) dan model pemasangan tempatan (CKD).

Careta merasakan apa yang diadukan oleh Datuk Aishah itu ada benarnya. Contohnya, insentif EEV diberikan khusus untuk kenderaan CKD tetapi Geely sudah diberikan keistimewaan itu dengan jumlah kenderaan CBU yang tinggi. 

Jika ini berlarutan, ini membuktikan apa yang dirisaukan oleh Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad itu sudah terjadi.

Tun Mahathir pernah menyuarakan kebimbangan beliau mengenai mudahnya syarikat kenderaan asing masuk ke dalam pasaran negara.

Jika cara yang digunapakai sekarang dibenarkan, maka Perodua sepatutnya dibenarkan mengimport masuk model-model Move Custom RS dan Copen dengan harga CKD dan diberi insentif EEV seperti apa yang diterima oleh Geely.

Begitu juga dengan Honda Malaysia dan Toyota yang telah melaburkan berbillion Ringgit kepada industri automotif negara dan menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat. 

Insentif perlu diberikan tetapi ia juga perlu adil.