Haramkan skuter elektrik - kerajaan Singapura belanja S$7 juta untuk bantu penghantar makanan beli basikal elektrik

oleh HEZERI SAMSURI|
Kerajaan Singapura membelanjakan sebanyak S$7 juta (RM21.1 juta) untuk membantu penghantar makanan seperti Grab Food, Deliveroo dan Foodpanda untuk menukarkan skuter elektrik mereka kepada basikal biasa atau basikal elektrik.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Negara itu mengharamkan penggunaan skuter elektrik dari menggunakan laluan pejalan kaki bulan November lalu. Denda sehingga S$2,000 atau penjara tiga bulan boleh dikenakan kepada pesalah laku tersebut.

Pengharaman itu berlaku selepas beberapa siri kemalangan membabitkan skuter elektrik yang mengakibatkan kecederaan. Paling teruk ialah bila seorang penunggang skuter elektrik melanggar seorang pengguna basikal berusia 65 tahun. Pengguna basikal itu meninggal dunia selepas koma selama beberapa hari.

Ada yang melakukan modifikasi agar skuter itu boleh bergerak lebih laju dan itu meningkatkan risiko kecederaan serius.

Skuter elektrik juga tidak mempunyai insurans dan menyusahkan bila mereka melanggar kenderaan lain. 

Namun begitu, Singapura faham pengharaman penggunaan skuter elektrik itu akan memberi impak kepada mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan.

Majoriti penghantar makanan menggunakan skuter elektrik kerana ia lebih mesra alam dan lebih murah dari motosikal. 

Oleh kerana itu, Kementerian Pengangkutan Singapura telah bersetuju untuk menyediakan geran istimewa bagi membenarkan penghantar makanan untuk menukar skuter elektrik mereka kepada basikal elektrik bernilai S$1,000 atau basikal biasa pada harga S$600.

Menteri Utama untuk Pengangkutan, Lam Pin Min berkata skuter elektrik pada mulanya sangat berguna sebagai mod pengangkutan batuan pertama dan terakhir (first- and last-mile) tetapi popularitinya turut menyebabkan kesan-kesan negatif.

"Singapura mahukan laluan pejalan kaki selamat kembali," ujarnya.

Sebelum pengharaman itu, kerajaan Singapura telah menurunkan kelajuan kenderaan seperti skuter elektrik. Selepas itu, ia memperkenalkan Program Tunggangan Selamat dan mematuhi piawaian UL-2272 standard kebakaran.

Ia juga meningkatkan pengawasan terhadap pengguna-pengguna yang engkar.

Situasi tidak berubah menyebabkan Singapura terpaksa mengharamkan skuter elektrik. 

Seramai 7,000 orang penghantar makanan akan menikmati geran penukaran kenderaan tersebut. Mereka hanya perlu menyerahkan skuter elektrik mereka ke pusat-pusat terpilih dan menerima basikal elektrik atau basikal biasa baharu.

Tidak seperti skuter elektrik, basikal hanya boleh digunakan di laluan-laluan khusus sahaja dan ia lebih selamat untuk pejalan kaki.

* Laporan dari The Straits Times