Haramkan motor kapcai atas jalan raya!

oleh Mohamad Hanif|
KERAJAAN patut mengharamkan motosikal berkapasiti rendah di bawah 250cc atau motor kapcai kerana ia mudah terdedah kepada kemalangan, kata seorang aktivis keselamatan jalan raya.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Kerajaan sebaliknya wajar menimbang untuk membenarkan hanya skuter elektrik dengan kelajuan tidak lebih 80km sejam, seperti yang dilaksanakan di beberapa negara lain, kata Shahrim Tamrin.

“Skuter elektrik adalah penyelesaian terbaik (kepada masalah kemalangan jalan raya melibatkan motosikal). Negara lain seperti China dan Taiwan sudah haramkan motosikal kapcai.

“Secara tidak rasmi, saya sudah usulkan perkara ini kepada beberapa agensi kerajaan. Saya juga akan hantar satu kertas cadangan untuk kerajaan haramkan motor kapcai,” katanya dalam satu Forum Keselamatan Penunggang Motosikal anjuran Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) di Arau, Perlis, hari ini.

 


Motosikal yang mula masuk pasaran Malaysia sejak akhir 1950-an ini mampu mencapai kelajuan sehingga 120km atau 140km sejam dan dibenarkan di lebuh raya.

Ia popular dalam kalangan pengguna jalan raya kerana harga yang mampu milik dan mudah dikendali.

Pada 2013, Menteri Kerja Raya Fadilah Yusof pernah mencadangkan motosikal kapasiti enjin rendah dilarang daripada menggunakan lebuh raya, juga atas alasan sama, untuk mengelak risiko kemalangan jalan raya ke atas mereka.

Menurut Shahrim, berdasarkan data tahun 2017 daripada Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), daripada hampir 500,000 motosikal pelbagai kategori yang berdaftar, 485,402 adalah motosikal jenis 250cc.

Jelas beliau, skuter elektrik tidak mampu dibawa laju dan mampu mengekang naluri remaja untuk menunggang motosikal secara berbahaya.

“Anda baru berumur 15 atau 16, nak bawa motor, bawalah. Tetapi bukan motosikal kapcai yang ditunggang secara laju.

“Skuter ini mesra alam sekitar dan tidak boleh ditunggang dengan jarak yang jauh,” katanya lagi.

 


Dalam pada itu, Shahrim menegur pendekatan pemasaran syarikat pengeluar motosikal yang cenderung menggalakkan budaya berlumba di jalan raya berbanding soal keselamatan.

Pengiklanan seperti ini mempengaruhi anak muda melihat motosikal sebagai alat untuk berlumba, tidak kira di bandar mahupun di luar bandar, katanya.

“Walaupun syarikat motosikal tidak promosi pun, remaja akan ke kedai motosikal dan minta diubah suai untuk jadi lebih laju.

“Jadi, pengeluar motosikal sedar tentang pasaran itu sejak 15 tahun lepas dan mereka terapkan motor kapcai untuk kelajuan dan berlumba.”

Sementara itu, Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Bakri Zainal Abidin setuju dengan pandangan supaya kerajaan melarang motosikal di bawah 250cc.

Katanya, pada tahun lepas, kemalangan melibatkan kereta lebih tinggi daripada motosikal, tetapi mangsa kemalangan motosikal yang lebih ramai maut.

“Pada 2018, kemalangan motokar adalah paling tinggi iaitu 591,399 dan motosikal sebanyak 113,288.

“Tetapi, daripada kematian yang direkodkan, 65 peratus adalah pengguna motosikal iaitu kadar yang paling tinggi,” katanya.

Statistik PDRM pada 2018 juga menunjukkan 4,128 penunggang dan pembonceng motosikal maut manakala pada 2017 adalah 4,348.

Kemalangan maut melibatkan kereta pula adalah 1,167 pada 2018 dan 1,269 pada 2017 iaitu kedua tertinggi berbanding kenderaan lain.

Sebelum forum pada hari ini, Miros semalam menganjurkan bengkel penunggangan selamat kepada mahasiswa Universiti Malaysia Perlis. 

 

Sumber: The Malaysian Insight. 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, seorang suspek…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Azman Mat Kamis, berkata siasatan awal mendapati ketika…
Berita Domestik
Beliau berkata, penganjur program tersebut turut diminta supaya menitikberatkan pematuhan jalan…