Hanya satu pelekat RFID di kenderaan, kata Kementerian Kerja Raya

oleh Shahrim Tamrin|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Hanya satu pelekat RFID untuk setiap kenderaan bagi tujuan pembayaran tol di masa hadapan.

Di dalam menangani kekeliruan orang ramai mengenai pengedaran tag RFID yang berasingan oleh pengendali Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Touch ‘n Go pada masa kini, Menteri Kerja Raya Baru Bian menjelaskan bahawa pelekat RFID yang dikeluarkan oleh kedua-dua syarikat hanya dibezakan dari segi ciri-ciri pembayaran digital atau sumber pembayaran elektronik (back-end).

"Tanpa mengira syarikat atau pengendali lebuh raya yang mengeluarkan tag RFID, kementerian sudah menetapkan tidak perlu ada banyak pelekat RFID untuk satu kereta. Hanya satu sahaja pelekat RFID diperlukan,” katanya, di dalam temubual eksklusif bersama Careta.my.

Baru turut mengesahkan bahawa Touch ‘n Go bukan lagi monopoli untuk sistem pembayaran elektronik di lebuhraya apabila laluan RFID beroperasi sepenuhnya sekitar suku pertama 2020.

“Apabila tamat tempoh percubaan di Lebuhraya PLUS serta lebuhraya-lebuhraya lain sekitar Lembah Kelang, pengguna mempunyai pilihan samada mahu menggunakan aplikasi mudah alih 'e-wallet' Touch ‘n Go, kad kredit, kad debit atau pembayaran terus dari akaun bank jika ada operator lebuhraya yang buat jalinan kerjasama dengan institusi kewangan,” ujar Baru.

Temubual eksklusif Menteri Kerja Raya Yang Berhormat Baru Bian bersama Careta

Menteri Kerja Raya menjelaskan pelekat RFID ini boleh digunakan di semua lebuhraya walaupun dikeluarkan oleh konsesi atau syarikat yang berlainan.

“Kita tidak mahu berlaku bila pengguna lebuhraya perlu lekat tiga atau empat tag RFID bila melalui lebuhraya berlainan. Yang jelas, kerajaan mahukan pelekat RFID yang diedarkan oleh Touch ‘n Go boleh bayar tol di mana-mana lebuhraya seluruh negara. Ini juga berlaku kepada tag RFID yang dikeluarkan oleh PLUS,” kata Baru.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Datuk Aziz Abdullah berkata bahawa syarikat konsesi lebuhraya yang berhasrat untuk mengedar tag RFID tersendiri adalah bebas membangunkan sistem secara bersendirian bersama pilihan saluran pembayaran ‘back-end’ selain dari Touch ‘n Go.

“Yang penting, pelekat RFID ini dapat digunakan di seluruh rangkaian lebuhraya seluruh negara kelak,” jelas Aziz.

Sekitar 100,000 pelekat RFID akan diedar bermula Januari oleh Touch ‘n Go untuk dirangkai bersama aplikasi mudah alih 'e-wallet'. Buat masa kini Touch ‘n Go sedang mengedarkan 10,000 pelekat RFID kepada pengguna lebuhraya untuk fasa pertama tempoh percubaan ini.

Sistem perintis RFID di bawah Touch ‘n Go sedang dijalankan di sektor utara iaitu di Lebuhraya Plus (laluan Jitra), Lebuhraya Butterworth-Kulim, Jambatan Kedua dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth.

Manakala di Lembah Kelang pula, sistem Touch ‘n Go RFID berlaku di Lebuhraya KL-Karak  Maju Expressway, Lebuhraya DUKE, Lebuhraya Beringkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Damansara-Puchong dan beberapa lagi lebuhraya lain di ‘Greater KL’. Akan tetapi, ia tidak merangkumi Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE).

PLUS melalui kerjasama dengan Microsoft, Visa, Mastercard, Maybank and TERAS Teknologi akan memulakan tempoh percubaan RFID bermula 15 Disember di Pulau Pinang dan Kedah.

Program perintis RFID PLUS yang berlandaskan pembayaran kad debit dan kad kredit akan dijalankan di Plaza Tol Jitra, Plaza Tol Kubang Semang (BKE), Plaza Tol Lunas (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata pelekat RFID adalah seperti satu pengenalan unik untuk setiap kenderaan di lebuhraya.

“PLUS ingin menawarkan pengguna pilihan samada melalui pembayaran terus dari kad debit atau kad debit dan berterusan menikmati insentif menarik di bawah PLUS Miles kelak.

“Kami juga tiada halangan jika pengguna mahu menggunakan 'e-wallet' Touch ‘n Go bila sistem RFID akan bermula sepenuhnya di seluruh rangkaian lebuhraya di bawah PLUS,” kata Azman kepada Careta.

Berita Berkenaan

Hezeri Samsuri
Netizen di Malaysia juga nampaknya sekali lagi bangkit dan marah di atas kejadian tersebut dan…
Berita Domestik
Beliau berkata begitu semasa temubualnya dengan portal berita online The Mole. Menurutnya, dasar…
Berita Domestik
"Tiga ke lima tahun adalah masa yang terlalu lama. Tetapi beri kami masa untuk memastikan sistem…