Hanya lima pengusaha bas ekspress yang masih beroperasi, selebihnya telah 'gulung tikar'

oleh SALINA JALIL|
Sebahagian besar pengusaha bas ekspres di Kelantan terpaksa memberhentikan operasi atau 'gulung tikar' susulan pandemik COVID-19 sejak setahun lalu.


Tindakan itu terpaksa diambil berikutan pengusaha bas ekspres tidak mampu menampung kos operasi termasuk gaji pekerja.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Kelantan, Che Ibrahim Che Ismail, berkata setakat ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hanya lima daripada lebih 10 syarikat bas yang masih beroperasi.

 

Katanya, sekiranya larangan rentas negeri diteruskan sehingga ke akhir tahun, dia tidak dapat membayangkan nasib pengusaha bas dan lebih 2,000 pemandu bas ekspres di Kelantan.

 

"Keadaan sekarang pun sudah terdesak ibarat kanser tahap tiga dan hampir memasuki tahap empat, apatah lagi masalah ini berlarutan.

 

"Walaupun kini bas mampu beroperasi, namun hanya beberapa bas sahaja digunakan kerana penumpang tidak ramai memandangkan memerlukan surat kebenaran rentas negeri.

 

"Sebagai contoh saya yang mengusahakan Konsortium E-Mutiara, kami mempunyai 80 bas namun untuk tempoh ini hanya 15 bas sahaja yang beroperasi," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan daripada pihak Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di pejabatnya semalam.

 

Beliau berkata, susulan pandemik berkenaan juga menyebabkan syarikatnya mengalami kerugian RM26 juta tahun lalu, berbanding pendapatan yang diperoleh pada 2019.

 

Dalam perkembangan lain, Che Ibrahim turut merayu kepada kerajaan supaya pemandu bas ekspres turut diberikan bantuan 'one-off' sebagaimana yang diperoleh pemandu bas persiaran serta bas sekolah.

 

Katanya, kerajaan tidak boleh bersikap berat sebelah kerana semua pemandu bas kini hilang punca pendapatan dan memerlukan bantuan.

 

"Di Kelantan ada lebih 2,000 pemandu bas dan kita merayu supaya kerajaan turut memberikan bantuan 'one-off' sebanyak RM500.

 

"Kita sudah menghantar surat rayuan kepada Kementerian Kewangan sejak Januari lagi selepas pembentangan Belanjawan oleh kerajaan, namun sehingga kini gagal mendapat maklum balas," katanya.

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pemandu bas berusia 51 tahun itu dalam aduannya mendakwa dia diarahkan memberhentikan basnya di…
Informasi
“Kenaikan surcaj 10 peratus bukan suatu perkara yang baharu, namun telah dilaksana sejak 20 tahun…
Berita Domestik
Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail, berkata bas…