Halatuju negara - Adakah kita masih berbangga dengan "cheap labour" untuk tarik pelabur asing? 

oleh HEZERI SAMSURI|
Berita mengenai syarikat-syarikat besar IT menutup beberapa cabang perniagaan mereka di Malaysia memang merunsingkan.

Cyberjaya memang satu projek yang gah semasa dlancarkan, dengan gergasi-gergasi IT yang datang dan membuka pejabat mereka di sana.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Sayangnya, seperti kebanyakan projek-projek besar dan juga infrastruktur kita, semakin lama ia semakin malap, seolah-olah tidak ada usaha kukuh dari pihak atasan untuk membangunkan dan mengembangkan apa yang sudah tercapai dahulu.

Ada yang berkata, tawaran dari negara luar lebih baik. Contohnya, ada syarikat IT besar dunia di India yang meningkatkan tempoh bekerja dari 40 jam seminggu kepada 45 jam tanpa tambahan kos - kerana ia adalah antara usaha untuk membaik pulih ekonomi. 

Ada juga yang berbisik - kos buruh dalam negara kita semakin tinggi dan dalam dunia pos-Covid19 nanti, syarikat-syarikat global bertumpu ke arah menjimatkan kos. 

Kualiti mungkin jatuh ke tempat kedua atau usaha digandakan untuk menaikan kualiti tempat-tempat yang masih menawarkan kos buruh yang lebih rendah - seperti apa yang Malaysia alami 30 tahun lalu.

 

 

Sebagai bekas pekerja sektor IT, saya tidak menolak fakta bahawa Malaysia adalah pelopor dalam industri high-tech itu di rantau Asia Tenggara (selepas Singapura).

Namun begitu, apa yang saya lihat, fenomena Proton mula terjadi kembali - di mana Proton, sebuah syarikat yang sedang sakit dahulu, masih tetap mahu mendabik dada dan mengulang fakta-fakta silam di mana mereka ialah syarikat kenderaan nasional pertama dan pernah berjaya di dalam itu dan ini.

Akhirnya, pegawai tertinggi syarikat itu sekarang adalah orang asing. Tak apa, masih ramai agensi kerajaan beranggapan itu adalah kejayaan negara. Mungkin mereka pun masih suka jika British kembali ke Malaya.

Buat masa sekarang, saya tidak nampak sangat sebarang usaha untuk menukar haluan industri automotif Malaysia.

Dari apa yang saya lihat, keputusan besar masih dibuat dengan cara tiba-tiba, tanpa sebarang perbincangan dengan pemain-pemain industri. Ini adalah sesuatu yang kurang profesional dan tidak disukai oleh pelabur asing.

Mungkin ada yang kurang jelas. Untuk sektor pengilangan automotif, perancangan adalah satu agenda besar kerana ia melibatkan lebih dari 30,000 komponen dari ratusan atau ribuan vendor-vendor.

Jika secara tiba-tiba harga kenderaan diturunkan, kilang-kilang mungkin sukar untuk menambahkan pengeluaran kerana mungkin vendor-vendor tidak mempunyai kapasiti yang lebih.

 

 

Orang ramai perlu ingat, Malaysia bukanlah satu negara yang besar. Jika kita mengharapkan pasaran tempatan sahaja, ia jauh dari mencukupi. Proton adalah satu contoh terbaik di mana ia tidak mampu berdiri sendiri jika bergantung kepada pasaran domestik sahaja.

Malah Perodua juga mengaku, mereka perlukan Proton untuk bangkit kerana vendor tempatan memerlukan volum yang banyak untuk menawarkan mereka harga yang kompetitif.

Jadi saya rasa sudah cukup untuk kita faham bahawa pasaran domestik tidak akan mampu menarik banyak pelaburan asing. Pemasangan kenderaan dalam negara adalah lebih kepada untuk mendapatkan insentif cukai.

Jika kita bercerita tentang eksport, kos tenaga buruh kita jauh lebih tinggi dari Thailand dan Indonesia dan adalah lebih murah untuk mereka memasang kenderaan di Thailand ataupun di Indonesia.

Begitu juga dengan insentif cukai - Indonesia dan Thailand memberikan insentif yang sama seperti Malaysia untuk projek-projek CKD mereka. Lebih murah dan mudah untuk mereka memasang sendiri kenderaan di negara-negara tersebut.

Benar, kita mempunyai syarikat automotif yang menjadikan Malaysia sebagai hab Asean mereka tetapi jumlah eksport masih terlalu sedikit untuk dibanggakan. Subaru contohnya, sudah mempunyai kilang mereka sendiri di Bangkok, dan di Malaysia, ia dipasang secara kontrak di sebuah kilang berusia di Segambut.

Adakah itu satu hala tuju yang boleh membuatkan kita berbangga dan duduk senang lenang? 

 

 

Indonesia mempunyai jumlah penduduk yang paling tinggi di Asean, dan ia bermakna pasaran domestiknya juga adalah yang paling besar. Adalah lebih murah dan mudah untuk memasang kenderaan di sana, dan kemudian dieksport ke Malaysia. 

Malah, Malaysia sendiri mempunyai banyak model-model kenderaan yang diimport dari Thailand dan harganya masih mampu bersaing dengan model-model yang dipasang secara CKD di dalam Malaysia.

Saya tak perlu bercerita tentang kemajuan EV kerana saya rasa semua sudah arif. Walaupun prasarana di Asean tidak lengkap untuk EV, negara-negara seperti Indonesia dan Thailand sudah mula memukul canang untuk menarik pelabur luar sedangkan Malaysia yang sudah memulakan operasi EV sejak enam tahun lepas masih senyap membisu. 

Berita-berita berkaitan EV CKD pertama Malaysia, projek bas elektrik negara, projek teksi elektrik negara semuanya seperti yang kita jangkakan, hangat-hangat tahi ayam. Membisu seribu bahasa, marah bila ditegur. 

 

BAIC CKD
* Gambar dari ZTH.

 

Malaysia sepatutnya mengeksport komponen-komponen berteknologi tinggi ke negara-negara Asean yang lain. Selain dari itu, kita sepatutnya sudah mula menghasilkan teknologi dan kepakaran sendiri yang sesuai untuk pasaran Asean. Kita tidak boleh duduk berpeluk tubuh dan melepaskan semua peluang-peluang pasaran rantau ini ke negara-negara luar sahaja. 

Saya cuma mampu rumuskan kepada satu perkara sahaja - ada kemungkinan besar Pak Menteri semua sudah berpencen awal kerana kerjaya mereka yang perlu bila ia mempunyai kepentingan politik.

Jika Malaysia masih tidak mahu menumpukan usaha untuk berubah ke arah sesuatu yang lebih mampan seperti industri R&D, sekiranya Malaysia masih hanya mampu menjalankan projek yang bertahan selama hayat pemerintahan politik, sekiranya Malaysia masih mahu berperang dengan isu-isu lapuk seperti ekzos bising, saya rasa ada kemungkinan anak-anak saya terpaksa mencari rezeki di negara luar.

Nauzubillah min zalik.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Datuk Phang Ah Tong, Pengerusi MARii, agensi itu sudah terbabit dengan pameran automotif…
Berita Global
Menurut Persatuan Perniagaan Eropah, kejatuhan tersebut berpunca dari pertumbuhan ekonomi yang…
Berita Global
Subaru atau nama lamanya, Fuji Heavy Industries berkata ia hanya akan menumpukan fokus kepada…