Hakim - 'Kerana kamu memandu terburu-buru, satu nyawa terkorban'

oleh Penyumbang Rencana|
"Tindakan tertuduh memandu secara terburu-buru, menyebabkan satu nyawa terkorban dengan sia-sia," kata Hakim Mahkamah Tinggi Suria Kumar DJ Paul di Muar pada Selasa

Hakim berkata demikian dalam penghakimannya sebelum menjatuhkan hukuman terhadap seorang pengusaha pasar mini yang mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang wanita dalam kemalangan jalan raya, tiga tahun lalu.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024

Tertuduh, Gui Chui, 72, membuat pengakuan itu melalui pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) kerana melanggar lampu isyarat merah hingga menyebabkan kematian Norain Abu Samah di persimpangan lampu isyarat Bypass, Temenggong Ahmad, Jalan Lintasan Bandar Muar pada April 2021.

Sebelum ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh seorang wanita dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam, menyebabkan kematian ke atas Norain yang ketika itu berusia 41 tahun, pada 7.45 pagi 25 April 2021.

Mengikut Seksyen 41 (1) APJ, sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum sebanyak RM50,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Putera Amirool Faez Suhasi, manakala tertuduh diwakili peguam R K Balakrishnan.

Suria Kumar dalam penghakimannya turut berkata, mahkamah sebelum menjatuhkan hukuman perlu mempertimbangkan beberapa faktor dengan mengimbangi kepentingan awam dan juga tertuduh, statistik dan jumlah kematian akibat kemalangan serta tingkah laku pengguna di jalan raya.

"Seperti mana ia dihujah pihak pendakwaan, peningkatan kes kemalangan bukan sesuatu yang baru, mahkamah mengambil maklum dengan tingkah laku pengguna jalan raya yang memandu secara melulu dan tidak berhenti ketika lampu isyarat ketika bertukar merah.

"Tidak menghormati hak pengguna jalan raya lain, yang mana mementingkan diri sendiri, mahkamah perlu menghantar satu mesej yang jelas kepada pemandu lain dan juga orang awam di mana mahkamah memandang serius kesalahan dilakukan tertuduh.

"Kesalahan dilakukannya menyebabkan satu nyawa terkorban dengan sia-sia, memandu secara terburu-buru dan tidak berhenti di lampu isyarat disebabkan mahu menguruskan perniagaannya.

"Dalam kes ini, seorang mangsa juga parah dan apakah perasaan tertuduh sekiranya dia berada di tempat keluarga mangsa," katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun bermula tarikh tertuduh ditangkap, 26 April 2021 serta denda sebanyak RM28,000.

Pada masa sama, mahkamah turut perintahkan tertuduh boleh dikenakan hukuman tambahan penjara dua tahun jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan memegang dan mendapatkan lesen memandu selama lima tahun bermula tarikh sabitan, pada Selasa.

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kesalahan yang dibicarakan adalah di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh…
Berita Domestik
Lesen memandu tertuduh juga digantung selama 10 tahun bermula selepas selesai menjalani hukuman…
Berita Domestik
Mohd Rizwan, mengaku bersalah menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol yang melebihi had…