Hakim Danish raih podium di Le Mans

oleh Firdaus Razani|
PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli mencatat keputusan podium dalam Pusingan 2 Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024 di Litar Le Mans, Perancis pada Ahad.

Pelumba berusia 17 tahun kelahiran Kuala Terengganu itu yang bertarung sengit dalam kelompok tiga terbaik sepanjang saingan mencatat masa 25 minit 21.768 saat (s) untuk kedudukan ketiga.

 

motogp
Hakim Danish motosikal nombor 13

 

“Alhamdulillah, syukur saya berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga di Le Mans untuk Pusingan 2 hari ini.

“Permulaan yang baik pada awal perlumbaan apabila saya mula good start untuk berada dalam kelompok hadapan.

“Saya juga cuba untuk memimpin perlumbaan dalam beberapa ketika bagi mengekalkan kedudukan dalam kelompok hadapan.

“Pada lap terakhir, saya cuba untuk menang tapi dipintas dua pelumba P4. Saya hanya sempat memintas seorang pelumba sahaja dan berjaya tempatkan diri di podium.

“Untuk pusingan di Mugello, saya akan buat lebih baik dari hari ini,” kata juara Asia 2022 yang turut berterima kasih kepada pasukan ZK Racing, SIC, Terengganu Incorporated dan Red Bull Rookies.

 

motogp

 

Perlumbaan tersebut dimenangi pelumba Sepanyol, Brian Uriarte dan Maximo Quiles yang masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama dan kedua.

Hakim Danish kini berada di kedudukan kelima dalam kedudukan kejuaraan dengan sebanyak 53 mata dan akan bersaing di pusingan seterusnya di Litar Mugello di Itali pada 1-2 Jun 2024.

 

KEDUDUKAN KEJUARAAN

1. Maximo Quiles, Sepanyol - 74 mata

2. Alvaro Carpe, Sepanyol - 65 mata

3. Brian Uriarte, Sepanyol - 62 mata

4. Valentin Perrone, Argentina - 55 mata

5. Hakim Danish, Malaysia - 53 mata

 

SUMBER : Sinar Harian