Hajat miliki Mercedes A45 tak kesampaian, RM39,000 lesap

oleh SALINA JALIL|
Seorang pekerja swasta kerugian RM39,000 selepas terpedaya dengan urusan jual beli kereta mewah dalam talian.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa tertarik untuk memiliki kereta Mercedez A45 selepas melihat tawaran kereta lelong melalui aplikasi Telegram.

 

Beliau berkata, mangsa berusia 43 tahun dari Bandar Indera Mahkota, di sini berhubung dengan penjual kenderaan bernama Fauzi yang mengaku bertugas dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya.

 

Menurutnya, pada Rabu lalu suspek membenarkan mangsa menggunakan sementara kereta Toyota Wish dengan nombor pendaftaran W9741J sebelum kereta Mercedez yang ditempah tiba di Kuantan.

 

"Selepas menerima kereta Toyota Wish suspek meminta pengadu membuat pembayaran untuk kereta Mercedez A45 dan mangsa membuat bayaran secara perbankan internet tiga transaksi ke dalam akaun atas nama Muhammad Amirul Ekmar sebanyak RM39,000.

 

"Selepas selesai membuat pembayaran, suspek meminta mangsa menunggu selama dua hari untuk kereta Mercedes A45 tiba di Kuantan," katanya dalam kenyataan.

 

Beliau menambah, mangsa tidak menggunakan kereta Toyota Wish yang disediakan suspek sebaliknya meletakkannya di luar pagar hadapan rumah ibunya.

 

Mohd Wazir berkata, kelmarin mangsa ke rumah ibunya dan mendapati kereta Toyota Wish diberi suspek hilang dan mengesyaki diambil oleh lelaki yang sebelum ini menghantar kenderaan terbabit.

 

Katanya, mangsa menyedari diperdaya dan cuba menghubungi suspek namun tiada jawapan, berikutan itu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Sabtu lalu.

 

Mohd Wazir berkata, modus operandi kes berkenaan suspek telah memperdaya mangsa dalam urusan pembelian kereta untuk digunakan sementara bagi meyakinkan mangsa sehingga mendorong mangsa membuat pembayaran, setelah pembayaran dibuat kereta terbabit diambil semula sementara kereta yang dibeli tidak diterima.

 

 

 

Utusan