Hafizh Syahrin sah berlumba untuk MotoGP 2018!

oleh Afandi Che Muhamad|
Teka-teki berhubung dakwaan pelumba kategori Moto 2 untuk pasukan Petronas Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah bakal berlumba dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2018 akhirnya terjawab menerusi sidang media yang diadakan di Petaling Jaya hari ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali (gambar) berkata, beliau baru sahaja menerima kata putus daripada pihak pengurusan pasukan Monster Yamaha Tech 3 yang bersetuju menggunakan khidmat Hafizh Syahrin mewakili pasukan mereka bagi MotoGP musim ini.

"Pengurus Monster Yamaha Tech 3, Herve Poncharal memaklumkan kepada saya beberapa hari lalu bahawa hasil perbincangan dijalankan pasukan berkenaan sebulat suara bersetuju menggunakan khidmat Hafizh bagi musim ini.

"Hafizh akan menggantikan tempat Jonas Folger (gambar) yang bertindak menarik diri sebelum ini selepas disahkan menghidap penyakit hati," katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Menurut Razlan, tempat kosong ditinggalkan pelumba yang terkenal dengan jolokan 'Pescao 55' itu dalam kategori Moto 2 bakal digantikan Zulfahmi Khairuddin sementelah dia berlumba sebagai pelumba kedua bagi pasukan Monster Yamaha Tech 3 nanti.

Dalam perkembangan sama, Hafizh (gambar) menjelaskan dia begitu teruja dengan pengumuman tersebut selain tidak menafikan bahawa peluang keemasan itu hanya hadir sekali seumur hidup.

"Saya gembira kerana terpilih mengikut jejak empat pesaing lain dalam kategori Moto 2 seperti Takaaki Nakagami (LCR Honda Idemitsu), Franco Morbidelli (Marc VDS), Thom Luthi (Marc VDS) dan Xavier Simeon (Reale Avintia Racing) untuk berlumba dalam saingan kelas tertinggi MotoGP.

"Selepas ini, saya akan tinggal di Sepanyol bagi mempamerkan komitmen sepenuhnya untuk pasukan baharu, pasukan Monster Yamaha Tech 3 sekali gus membanggakan Malaysia di mata dunia," ujarnya.

Terdahulu, laluan untuk pemuda berusia 23 tahun berasal dari Ampang itu untuk berlumba atas 'tiket' MotoGP dipermudahkan selepas pihak pengurusan pasukan Monster Yamaha Tech 3 tertarik dengan catatan masa direkodkan Hafizh ketika sesi ujian di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand baru-baru ini.

Hafizh hanya ketinggalan 1.7 saat di belakang pelumba pasukan Repsol Honda, Dani Pedrosa ketika ujian tersebut berlangsung.

Susulan kejayaan Hafizh melayakkan diri berlumba dalam saingan MotoGP musim ini, Careta menjangkakan pemuda berkenaan bakal menjadi tarikan utama perlumbaan sekali gus menarik minat jutaan peminat sukan tempatan untuk melihat aksi anak Malaysia tersebut di kancah pemotoran dunia.

 

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Tinjauan Bernama pada sesi latihan persendirian di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini…
Berita Domestik
Perkara itu disahkan menerusi hantaran di laman sosial rasmi JDT yang turut memperlihatkan Tunku…
Informasi
Razlan berkata, buat masa ini barisan pelumba negara dilihat masih belum bersedia untuk ke kelas…