Hadir sebagai pencabar baharu dalam SUV segmen C, Haval H6 HEV tampil dengan gabungan teknologi hibrid canggih, reka bentuk agresif dan pelbagai ciri-ciri moden.
Haval H6 HEV dikuasakan nadi 1.5 turbo 4 silinder yang menghasilkan 150 PS dan 230 Nm, dipadankan dengan motor elektrik yang dipasangkan pada transmisi DHT 2 kelajuan yang menghasilkan 177 PS dan 300 Nm, menjadikan kuasa keseluruhan sehingga 243 PS dan 530 Nm.
Rekaan luarnya menampilkan reka bentuk sporti dan moden, di mana ia dilengkapi lampu hadapan dan belakang LED dengan penuh, sementara bahagian depan juga tampil unggul dengan jeriji Star Matrix.
Pada bahagian dalam, Haval H6 HEV menggabungkan konsep keselesaan dan praktikal untuk kemudahan pengguna yang mencari sebuah SUV untuk keluarga bersama teknologi terkini.
Bagi menjanjikan sebuah SUV keluarga yang sempurna, bahagian ruang but Haval H6 HEV hadir dengan kapasiti seluas 560 liter dan boleh diperluaskan sehingga 1,485 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Pada bahagian kabin, ia dilengkapi panel instrumen digital bersaiz 10.25 inci yang memaparkan pelbagai maklumat semasa memandu, serta skrin infotainment bersaiz 12.3 inci dengan pelbagai fungsi seperti kamera 360 darjah, fungsi casis lut sinar serta ciri Android Auto dan Apple CarPlay.
Dari segi keselamatan, Haval H6 HEV dilengkapi sistem Level 2 ADAS yang merangkumi pelbagai ciri seperti:
- Adaptive Cruise Control (ACC)
- Lane Keeping Assist (LKA)
- Traffic Sign Recognition (TSR)
- Lane Change Assist (LCA)
- Blind Spot Detection (BSD)
- Auto Reversing Assistance (ARA)
- Secondary Collision Mitigation (SCM)
- Cornering Brake Control (CBC)
- Roll Over Mitigation (RMI)
- Hill Descent Control (HDC)
- Front Collision Warning
- Rear Collision Warning
Hadir sebagai model pemasangan tempatan (CKD), GWM Haval H6 HEV ditawarkan dari RM139,800 dengan pelbagai tawaran menarik untuk pembeli terawal.
Antara tawaran menarik sempena pelancaran GWM Haval H6 HEV ialah:
- Rebat RM3,000 untuk tempahan sebelum 20 Oktober 2024
- Penyelanggaraan percuma 5 tahun untuk pendaftaran pada tahun 2024
- Rebat tambahan RM3,000 kepada pemilik GWM sedia ada
Pelanggan terawal juga layak menikmati tawaran waranti enjin selama 10 tahun atau 1,000,000 km, waranti sistem HEV selama 8 tahun atau 1,000,000 km, dan waranti kenderaan selama 7 tahun atau 200,000 km.