
Perkakasan itu menggantikan paparan belakang gril Crystal Face Enyaq iV dengan paparan LED yang boleh diprogramkan dan menghasilkan pelbagai animasi.
Apabila kereta menghampiri lintasan pejalan kaki, paparan akan mengeluarkan amaran bahawa sistem sudah mengesan mereka.
Kereta akan berhenti dan memaparkan isyarat anak panah hijau untuk memaklumkan selamat untuk melintas.

Selepas selesai melintas dan kereta sedia untuk bergerak, sistem memaparkan isyarat bagi memaklumkan kereta sedang memulakan perjalanan.
Škoda sedang menguji pelbagai simbol seperti anak panah dan karakter berwarna hijau, segitiga amaran atau segitiga merah dengan palang pangkah.
Fungsinya ibarat papan LED yang banyak digunakan sekarang ini dan lebih canggih!

Teknologi sebegini mempunyai potensi bagi mengurangkan jumlah pejalan kaki yang cedera di jalan raya.
Program pengujian ini juga melibatkan robot bergerak yang dipanggil IPA2X bagi membantu kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya melintas jalan dengan selamat.
Projek ini melibatkan kerjasama di antara pakar dari Institut Informatik, Robotik dan Sibernetik Universiti Teknikal Czech di Prague (CIIRC), Universiti Teknikal Munich dan Škoda.

Robot itu dengan ketinggian lebih dua meter mempunyai bentuk seperti lampu isyarat bergerak dan berjalan ke tengah lintasan pejalan kaki.
Setelah tiba, robot akan memaparkan isyarat warna hijau dan pejalan kaki boleh melintas.
Robot itu sentiasa mengawasi kawasan sekeliling dan dapat mengesan kereta yang menghampiri garis lintasan.

Menggunakan sensor pada aras dua meter tinggi, robot itu mampu melihat melepasi kereta yang diparkir dan kemudian bergerak ke jalan raya apabila selamat untuk melakukannya.
Robot itu memaparkan maklumat untuk pejalan kaki dan amaran kereta yang menghampiri serta mengeluarkan isyarat berhenti kepada pemandu.
Pada masa yang sama sistem akan berkomunikasi dengan kereta dan menghantar amaran pada skrin maklumat hibur kereta.

Selepas pejalan kaki selesai melintas, robot akan kembali ke tepi jalan raya dan peringatan pada papan pemuka dipadamkan dan pemandu boleh menyambung perjalanan.
Pembangunan seterusnya melibatkan amaran dalam bentuk audio.
Penulis: Muhammad Md Tajudin