Menurut kenyataan Grab Malaysia, perkhidmatan Women-Only Rides (Beta) direka khas bagi memadankan penumpang wanita dengan pemandu wanita sahaja. Langkah ini dilihat sebagai usaha meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan, khususnya bagi wanita yang melakukan perjalanan bersendirian.
Buat masa ini, perkhidmatan Beta tersebut tersedia melalui tempahan Advance Booking di Lembah Klang.
Pengguna Wanita Perlu Jalani Pengesahan Identiti
Bagi memastikan integriti platform, pilihan perjalanan ini hanya boleh dilihat oleh pengguna wanita. Mereka perlu melalui proses pengesahan jantina sekali sahaja menggunakan MyKad atau pasport serta swafoto (selfie).
Grab memaklumkan bahawa proses pengesahan ini akan dipadankan dengan rekod rasmi sebelum pengguna dibenarkan mengakses perkhidmatan tersebut.
Dilancar Pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Grab
Inisiatif berkenaan dilancarkan ketika sambutan Hari Wanita Antarabangsa Grab yang menghimpunkan pemimpin wanita kanan syarikat bersama rakan pemandu wanita.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying.
Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata pelancaran ini mengukuhkan komitmen jangka panjang syarikat terhadap keselamatan serta pemerkasaan wanita, sambil meneruskan usaha di bawah inisiatif #SisBoleh yang diperkenalkan pada tahun 2023.
Meningkatkan Rasa Selamat dan Peluang Pendapatan
Menurut Adelene, inisiatif ini bukan sekadar memperkenalkan ciri baharu dalam aplikasi, sebaliknya bertujuan memastikan setiap wanita mempunyai ruang yang selamat untuk bergerak dan menjana pendapatan.
Beliau berkata dengan memperkukuh kepercayaan terhadap platform, Grab dapat memberikan keselesaan lebih kepada penumpang wanita serta peluang pendapatan tambahan kepada pemandu wanita.
Kempen Rekrut Pemandu Wanita Hingga September 2026
Bagi memenuhi permintaan yang dijangka meningkat, Grab turut melancarkan kempen Women Driver Acquisition yang berlangsung dari 8 Mac hingga 30 September 2026.
Kempen ini mengajak lebih ramai wanita menyertai platform Grab sebagai pemandu dengan menawarkan peluang pendapatan fleksibel serta pelbagai sokongan untuk membantu mereka berkembang dalam ekonomi digital.
Grab juga memaklumkan bahawa pemandu wanita baharu berpeluang memenangi ganjaran sehingga RM100,000 termasuk baucar minyak dan sebuah Proton Saga sebagai hadiah utama.
Dibina Di Atas Ekosistem #SisBoleh
Grab menjelaskan bahawa kedua-dua inisiatif tersebut merupakan evolusi kepada program #SisBoleh yang kini berkembang menjadi ekosistem sokongan wanita yang lebih menyeluruh.
Ekosistem ini dibina di atas tiga teras utama iaitu #SisBolehDrive With Confidence, #SisBolehLevelUp dan #SisBolehCommunity, yang memberi fokus kepada kemahiran, peluang ekonomi serta komuniti sokongan.
Pelbagai Ciri Keselamatan Dalam Aplikasi
Selain itu, perkhidmatan Women-Only Rides turut disokong oleh rangka kerja keselamatan Grab yang merangkumi pelbagai teknologi keselamatan.
Antaranya termasuk proses saringan keselamatan ketika pendaftaran pemandu, pengesahan wajah berasaskan Artificial Intelligence (AI), fungsi penyamaran nombor telefon, ciri “Share My Ride”, butang kecemasan SOS melalui Get Emergency Help, serta teknologi pemantauan perjalanan dan telematik.
Grab menjelaskan ciri-ciri keselamatan ini beroperasi di latar belakang bagi memastikan setiap perjalanan lebih selamat dan memberi keyakinan kepada pengguna, khususnya wanita.
Sumber: BERNAMA