Kerjasama tersebut bertujuan untuk menyediakan akses lebih mudah kepada EV, mengurangkan pelepasan karbon, serta menyokong ekonomi hijau negara.
Melalui inisiatif itu, Grab Malaysia akan memperkenalkan perkhidmatan e-hailing EV, menawarkan harga eksklusif serta kadar pajakan istimewa.
Di samping itu juga, inisiatif itu bakal memperluaskan rangkaian pengecasan dan menyediakan latihan serta sokongan penyelenggaraan kepada rakan pemandu Grab.
Menurut Pengarah Operasi dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor, usaha itu bukan sahaja membantu negara mencapai matlamat kelestarian tetapi juga memberi peluang kepada pemandu untuk beralih kepada kenderaan lebih mesra alam.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YB Liew Chin Tong, turut menyatakan bahawa kejayaan peralihan ke EV bergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta, dengan Grab Malaysia menjadi contoh terbaik dalam usaha itu.
Dengan kerjasama tersebut, Grab Malaysia terus komited untuk memperkasa ekosistem EV negara, memudahkan peralihan pemandu ke arah mobiliti hijau, dan menyokong sasaran kelestarian Malaysia untuk masa depan yang lebih mampan.