Kecuali beberapa acara rali di Jepun, kelibat jentera ini masih lagi tidak kelihatan di mana-mana acara perlumbaan rasmi WRC, malah pada tahun 2021 Toyota masih lagi menggunakan model lama untuk berlumba.
Sebab utama Toyota berbuat demikian adalah kerana tahun 2022 menandakan perubahan besar di dalam regulasi perlumbaan, jadi ini merupakan masa terbaik bagi pengeluar itu untuk mendedahkan jentera rali baharu mereka.
Memperkenalkan, GR Yaris Rally1.
Bermula tahun 2022, GR Yaris Rally1 bakal bertempur di dalam kelas tertinggi Rally1 yang memerlukan semua jentera menggunakan trenkuasa hibrid yang terdiri daripada enjin empat silinder sebaris 1.6 liter turbo yang dipadankan dengan motor elektrik (134 hp, 180 Nm).
Tidak ketinggalan, pek bateri sebesar 3.9 kWh dengan perumah gentian karbon yang diposisikan dekat dengan gandar belakang.
Dari segi luaran, ia sama sahaja dengan model GR Yaris jalanan dengan bentuk hatchback tiga pintu, dan penampilan kit badan yang lebar terdiri daripada tambahan pada fender, bampar kustom, skup hud, liang kemasukan udara sisi, serta spoiler belakang yang lebih besar.
GR Yaris Rally1 akan bersaing dengan Ford Puma Rally1 dan Hyundai i20 Rally1 pada pusingan pembukaan Rally Monte Carlo (20-23 Januari 2022).
Selain daripada WRC, Toyota juga akan menyertai beberapa acara berprestij seperti:
- kejuaraan endurans WEC (kategori Hypercar LMH) - GR010 HYBRID
- Dakar Rally 2022 - GR Dakar Hilux T1+
- Japanese Rally Championship - GR Yaris
- Super GT - GR Supra GT500
- Japanese Super Formula Championship
- Super Taikyu - Corolla Sports berkuasa hidrogen, GR 86 Tom's Spirit