Model pacuan roda belakang tersebut dibangunkan menerusi kerjasama dengan BMW, di mana ia banyak berkongsi platform dan komponen daripada BMW Z4, termasuklah enjin empat dan enam silinder serta transmisi.
Satu laporan terkini daripada BestCarWeb Jepun yang mendakwa Toyota akan meneruskan produksi Supra A90 sehingga tahun 2025 sebelum ia diakhiri dengan varian khas GRMN.
Varian khas ini dikatakan model terakhir yang akan ditawarkan dengan enjin pembakaran dalaman, dengan talaan kuasa mencecah 542 hp.
Setelah itu, ia akan digantikan dengan Supra generasi keenam, di mana Supra baharu ini akan mengekalkan layout pacuan roda belakang dan dibangun menggunakan senibina e-TNGA.
Dengan menggunakan e-TNGA, Supra generasi keenam bakal menjadi kereta sports berkuasa elektrik sepenuhnya yang mampu memberikan saingan rapat kepada kereta sports elektrik Alpine yang kini sedang dibangunkan.
Untuk mereka yang masih lagi mahukan Supra berenjin, usah risau kerana anda masih lagi mempunyai beberapa tahun sebelum produksi Supra A90 ini ditamatkan sepenuhnya.
Untuk pasaran Malaysia, anda boleh memilih sama ada untuk memandu Supra bertransmisi automatik, atau Supra dengan kotak gear manual enam nisbah kelajuan seperti yang baru dilancarkan disini tempoh hari.
Baca: Toyota GR Supra 2023 - kini dengan transmisi manual, dari RM645k
Sumber: BestCarWeb