Tidak pun lama selepas GR 86 dilancarkan di peringkat global, penala terkenal HKS mula memperlihatkan model GR 86 HKS Concept dengan penampilan yang lebih agresif berbanding model standard kilang.
Antara perubahan besar yang dibawakan dari segi luaran adalah penawaran kit badan serta pakej aerodinamik yang agresif, dibantu dengan pemasangan sayap belakang yang besar.
Dari segi pengendalian, HKS menawarkan spring gegelung Hipermax S yang dikatakan mampu memberikan pengalaman pemanduan yang lebih selesa, serta tidak ketinggalan sistem ekzos yang lebih ringan (Hi-Power Spec L II).
Namun, yang paling utama mahu ditunjukkan oleh HKS adalah kit pengecas lampau GT2 Supercharger supaya mampu menghamburkan angka output yang lebih berkuasa berbanding model standard GR 86 (228 hp dan 249 Nm).
Sebagai perbandingan, kit Supercharger GT2 ini mampu mengektrak kuasa sehingga 298 kuasa kuda dan daya kilas 316 Nm daripada enjin 2.0 liter GT 86 yang terdahulu.