Goodyear umum penyertaan semula dalam WEC, Le Mans 24H

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Goodyear baru-baru ini mengumumkan penglibatan semula syarikat pembuat tayar tersebut dalam perlumbaan sukan permotoran di Eropah dan peringkat antarabangsa, menerusi pembangunan produk tayar baharu khusus buat jentera lumba. 

Menurut Goodyear lagi, tayar-tayar tersebut akan dikhususkan buat perlumbaan FIA World Endurance Championship (WEC) termasuklah perlumbaan 24 jam Le Mans. 

Menurut Ben Crawley, pengarah divisyen Motorsport Goodyear berkata, "berdasarkan perlumbaan yang berbeza durasi (4 hingga 24 jam), pemilihan dan strategi penggunaan tayar yang bersesuaian amat kritikal.

"Ini memberikan satu cabaran dan motivasi kepada pasukan teknologi kami di Eropah bagi meneroka satu peluang baharu di dalam sukan permotoran," tambah beliau.

Goodyear sebelum ini telah membangunkan barisan tayar baharu untuk kategori Le Mans Prototype sejak setahun yang lalu di Hanau, Jerman dan Colmar-Berg, Luxembourg. 

Tayar-tayar berprestasi tinggi ini dibangunkan dan diproduksikan bersama-sama produk tayar Eagle F1 SuperSport, bagi memastikan pemindahan teknologi dan input dari penggunaan jalan raya dan litar mampu memberikan manfaat kepada kedua-dua keadaan tersebut. 

Tayar baharu tersebut akan diperkenalkan secara rasmi pada musim pembukaan WEC 2019/2020 di Silverstone, Ogos ini. 

Goodyear mempunyai pengalaman yang luas di dalam sukan permotoran, dengan kemenangan sebanyak 14 kali di dalam perlumbaan 24 jam Le Mans, selain memperoleh 368 kemenangan di Formula One Grand Prix - satu rekod yang sukar untuk dipecahkan.