Goodyear jadi pembekal tayar rasmi Pure ETCR

oleh Mohamad Hanif|
Goodyear sedang membangunkan model tayar yang bakal digunakan pada perlumbaan Pure ERCR, yang bakal menampilkan kombinasi beberapa teknologi yang diinspirasikan daripada tayar EV terbaharu dan juga tayar UHP Eagle F1 SuperSport.

Spesifikasi tayar baharu itu hanya akan diumumkan menjelang acara permulaan Pure ERCR pada musim bunga nanti. 

Menurut Goodyear, tayar ini akan menggunakan standard binaan perlumbaan, namun dengan rekaan bunga yang membolehkan pemandu Pure ETCR menggunakan tayar yang sama di dalam jalan basah dan kering, sekaligus mengurangkan jumlah penggunaan tayar dalam satu-satu acara. 
 


Ini adalah selari dengan misi Goodyear dan Pure ETCR dalam usaha mencari solusi yang mampan untuk masa hadapan mobiliti dan sukan permotoran. 

Acara perlumbaan Pure ETCR akan dipromosikan oleh Eurosport Events - organisasi yang sama di sebalik WTCR - FIA World Touring Car Cup di mana Goodyear juga turut menjadi pembekal tayar rasmi untuk tujuan itu. 

Fokus Goodyear adalah untuk memastikan tayar yang digunakan mempunyai masa yang pantas untuk fasa pemanasan selain prestasi yang konsisten di sepanjang perlumbaan. 
 


Ini bermakna, para pelumba boleh terus berlumba tanpa memerlukan perkakasan untuk memanaskan tayar seperti mana yang kita biasa lihat pada perlumbaan yang lain. 

 

Add new comment