Tidak seperti model biasa, Golf R 20 Years didatangkan dengan talaan enjin 2.0 liter yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 328 hp - menjadikannya model Golf yang paling berkuasa pernah wujud dari kilang.
Secara standard, Golf R 20 Years dilengkapi dengan logo R pada bahagian gril, fender dan belakang, perumah cermin sisi biru atau hitam, lencana 20 pada tiang B, serta imej '20R' pada lampu lopak.
Keempat-empat sudut dipadankan dengan rim dua tona bersaiz 19 inci, atau pilihan warna hitam secara keseluruhan.
Selain daripada kelengkapan R-Performance yang merangkumi spoiler belakang, R-Performance Torque Vectoring dan penambahan mod pemanduan Special dan Drift, Golf R turut didatangkan dengan opsyen Emotion Start.
Sistem Emotion Start ini apabila diaktifkan akan sengaja membiarkan enjin melahu sehingga 2,500 rpm untuk memberikan runut bunyi permulaan yang lebih agresif.
Ruang kabin pula menempatkan tempat duduk sports dengan kemasan upholsteri kulit Nappa, trim gentian karbon, serta logo R berwarna biru pada bahagian penghadang kepala.
Difahamkan, Volkswagen akan menjual Golf R 20 Years di beberapa pasaran utama seperti Eropah, Amerika Utara dan pasaran lain pada pertengahan tahun ini sehingga pertengahan tahun hadapan.