Zypp Electric merupakan syarikat India yang menawarkan platform EV-as-a-Service, dengan memfokuskan perkhidmatan penghantaran perbatuan terakhir bebas karbon dengan bilangan kenderaan elektrik melebihi 7,000 unit di dalam armadanya.
Program percubaan B2B itu akan dilaksanakan di beberapa buah bandar, seperti Gurugram, Delhi, Noida, Ghaziabad, Faridabad dan Bengaluru.
Skuter elektrik yang digunakan itu memiliki kuasa yang hampir menyamai skuter 110cc, dibantu dengan teknologi bateri mudah tukar yang boleh didapati menerusi stesen penukaran bateri GoStation.

Rekaan yang modular itu membolehkan Gogoro memasang stesen penukaran bateri tersebut di mana jua lokasi yang sesuai, dan proses keseluruhan penukaran bateri itu hanya memakan masa yang singkat, purata sekitar enam saat sahaja.
Jauh lebih pantas berbanding tempoh masa yang diambil untuk pengisian bahan api motosikal dan skuter konvensional.
Teknologi bateri mudah tukar yang dibawakan oleh Gogoro sudah terbukti lebih berdaya maju dari segi kewangan untuk negara berpopulasi padat seperti India.

Ini kerana, tidak semua orang memiliki akses kepada sistem pengecasan di rumah masing-masing, dan tidak semua memiliki masa yang mencukupi untuk sekadar menunggu bateri skuter elektrik mereka dicas sepenuhnya.
Di Taiwan sendiri, Gogoro mengoperasikan ribuan stesen penukaran bateri dengan kadar penukaran bateri mencecah lebih 250,000 kali dalam masa sehari.
Tidak lama lagi, Taiwan dikatakan bakal mempunyai stesen GoStation yang jauh lebih banyak berbanding bilangan stesen minyak yang ada di negara tersebut.
Sumber: RideApart