GMC Sierra 1500 2022 facelift dengan ruang kabin yang lebih mewah

oleh Mohamad Hanif|
Segmen trak pikap bersaiz penuh merupakan antara segmen yang sangat kompetitif di Amerika Syarikat, dan salah satu daripada model yang ditawarkan adalah GMC Sierra 1500.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Telah diperkenalkan sejak tahun 2019, namun apa yang mengecewakan pada model tersebut adalah ruang dalaman yang begitu membosankan, dan menyebabkan ia agak ketinggalan jika dibandingkan dengan pesaing Ram 1500.

Jadi untuk model tahun 2021, GMC telah mendatangkan kemaskini terhadap trak pikap Sierra 1500 dengan membawakan perubahan dari segi rekaan, serta naik taraf ruang kabin yang lebih moden.
 

Sierra


Reka bentuk luaran menerima gril yang telah dikemaskini, lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang berbentuk C, rekaan bampar yang dikemaskini, lampu kabus, serta pilihan rim yang pelbagai.

Rekaan ruang kabin yang menyegarkan ini mengambil inspirasi daripada model SUV GMC Yukon, dimulakan dengan skrin sentuh yang jauh lebih besar, serta penggunaan bahan yang lebih mewah.

Perubahan tersebut merangkumi skrin kluster digital bersaiz 12.3 inci, skrin infotainmen 13.4 inci dengan ciri Google Maps, Google Assistant dan Google Play yang terbina, Amazon Alexa serta turut menyokong sambungan kepada Apple Carplay dan Android Auto secara nirwayar.

Konsol tengah baharu menempatkan tuil penukaran gear yang telah diposisikan, dan dikemaskan dengan penggunaan bahan yang berkualiti tinggi.
 

Sierra


Untuk mereka yang mahukan trak pikap versi mewah, terdapat varian baharu dinamakan sebagai Denali Ultimate dengan penawaran ciri seperti gril hadapan unik dengan kemasan aksen Vader eksklusif, tempat pemijak sisi berkuasa, bed CarbonPro, tailgate MultiPro, rim 22 inci kemasan hitam berkilat.

Untuk ruang kabin, terdapat kemasan bahan Alpine Umber, balutan kulit jenis full-grain pada tempat duduk, panel pintu dan konsol tengah, balutan kulit standard pada panel instrumen serta headliner microsuede.

Senarai itu turut merangkumi tempat duduk boleh laras 16 cara dengan fungsi urut, pemanasan dan ventilasi, sistem audio premium Bose dengan 12 pembesar suara, cermin pandang belakang digital, dan paparan head-up bersaiz 15 inci berwarna.
 

Sierra


Tidak ketinggalan, trim kayu berliang terbuka Paldao yang menampilkan kemasan laser yang membentuk peta topografi Pergunungan Denali.

Dari segi kuasa, GMC Sierra 1500 Denali Ultimate didatangkan dengan enjin 6.2 liter bentangan V8 yang mampu menghasilkan 420 hp dan 624 Nm, sistem pacuan empat roda dan transmisi automatik 10 nisbah kelajuan.

Untuk varian lain, terdapat pilihan enjin 2.7 liter turbo (310 h/569 Nm) dengan keupayaan menunda sehingga 4,354 kg, atau enjin diesel 3.0 liter Duramax turbo (277 hp/623 Nm) dengan keupayaan menunda 5,987 kg, atau enjin 5.3 liter V8 (355 hp/519 Nm).
 

Sierra


Untuk varian AT4X yang lebih fokus kepada pemanduan off-road, ia mendapat ciri peredam Multimatic DSSV spool-valve dan spring unik yang menawarkan tambahan jarak pergerakan suspensi dari 25 hingga 50 mm, rim 18 inci yang dibaluti tayar MT Goodyear Wrangler DuraTrac, perlindungan bawah badan, serta mod pemanduan off-road pedal tunggal.

Kemasan ruang kabin juga diberikan penekanan sesuai dengan sifatnya sebagai trak lasak, di mana ia mendapat kemasan kulit hitam dan Obsidian Rush yang dikontraskan dengan jahitan putih dan trim kayu dark ash.
 

GMC


Dari segi keselamatan, GMC Sierra 1500 2022 didatangkan standard dengan kelengkapan seperti amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik, amaran penukaran laluan, amaran zon titik buta dan juga bantuan suluhan tinggi automatik.

Pelanggan juga boleh menempah ciri tambahan seperti kawalan jelajah adaptif, sistem amaran had muatan GCW Alert, serta amaran titik buta trailer dengan bantuan 14 buah paparan kamera yang berbeza termasuk paparan telus trailer yang menggunakan kamera aksesori di bahagian belakang.

Harga jualan bermula dari $32,495 (RM135,114) untuk versi aras mula Pro, sementara varian AT4X pula bermula dari $74,995 (RM311,829), atau $14,000 (RM58,212) lebih mahal berbanding varian AT4 biasa.

Varian lebih mewah Denali Ultimate pula lebih mahal, bermula dari $80,394 (RM334,278) atau $19,100 (RM79,418) lebih mahal berbanding varian Denali standard.